BISNES
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2180/2315 berbanding dolar US daripada 4.2260/2310 semasa ditutup semalam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US pada Rabu, disokong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah mempengaruhi dolar US dan mendorong pelabur untuk menilai semula sentimen pasaran, kata seorang ahli ekonomi.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2180/2315 berbanding dolar US daripada 4.2260/2310 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM AS yang lebih lemah daripada jangkaan mengukuhkan lagi jangkaan bahawa Rizab Persekutuan mungkin akan menurunkan kadar faedah pada September depan.
"Data ekonomi AS yang lemah termasuklah data gaji bukan ladang pada Jumaat lepas telah mengubah naratif. Kebarangkalian untuk penurunan kadar faedah semakin meningkat kerana para pembuat dasar berusaha untuk menyokong pertumbuhan," katanya.Di peringkat tempatan, Mohd Afzanizam berkata, ringgit telah menunjukkan prestasi yang baik berbanding dolar US tetapi beliau memberi amaran bahawa mungkin akan berlaku aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan ketara dalam tempoh dua hari lalu.
"Kami menjangkakan ringgit akan diniagakan antara RM4.22 dan RM4.24 berbanding dolar US hari ini," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8795/8889 daripada 2.8618/8654 pada Selasa dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6197/6377 daripada 5.6159/6226.
Bagaimanapun, ia merosot berbanding euro kepda 4.8954/9110 daripada 4.8772/8830 sebelum itu.
Ringgit melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2841/2949 daripada 3.2793/2834 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 13.0747/1229 daripada 13.0408/0627.
Unit tempatan juga naik berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.39 daripada 7.33/7.34 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 257.6/258.5 daripada 257.8/258.2.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami