KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini walaupun kadar jumlah kes harian COVID-19 di dalam negara semakin meruncing.

Jumlah terkumpul kes COVID-19 Malaysia telah melepasi paras satu juta iaitu sebanyak 1,013,438 kes selepas 17,045 kes baharu dilaporkan pada Ahad -- jumlah kes tertinggi dalam tempoh sehari sejak pandemik melanda negara ini pada Mac tahun lepas.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.2250/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2255/2275 pada penutupan urus niaga Jumaat lepas.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata ringgit dijangka diniagakan melepasi paras 4.20 hari ini meskipun terdapatnya kebimbangan yang pemulihan ekonomi akan terus tertangguh di celah-celah kebangkitan COVID-19.

"Namun begitu, sebarang tekanan terhadap ringgit akan dibendung oleh kadar harian pemberian vaksin yang menggalakkan di dalam negara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Dewan Rakyat akan mengadakan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 untuk pertama kalinya pada tahun 2021, bermula hari ini sehingga 2 Ogos, 2021.

Pada paras pembukaan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.9716/9774 daripada penutupan Jumaat 4.9781/9834, dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.1027/1069 daripada 3.1070/1089 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8260/8305 daripada 3.8254/8275, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.8077/8146 daripada 5.8054/8082 sebelumnya.

-- BERNAMA