KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kembali mengukuh ke paras RM4.50 berbanding dolar Amerika sebelum penghujung tahun 2024, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut Menteri Kewangan II itu, perkembangan tersebut berdasarkan analisa perbankan yang melihat pertumbuhan positif ekonomi negara, melalui keyakinan pelabur terhadap syarikat tempatan yang menjurus kepada peningkatan pasaran Bursa Malaysia.

"Saya nampak tanda-tanda baik daripada segi ekonomi bursa meningkat sebanyak 7 peratus.

"'Ini adalah petanda yang baik tunjukkan keyakinan yang ditunjuukkan pelabur kepada syarikat-syarikat yang ada dalam negeri," katanya.

Kata Amir Hamzah, berdasarkan keyakinan terbabit ia menunjukkan ringgit akan terus mengukuh sehingga ke hujung tahun ini.

"Daripada segi penganalisa perbankan mereka merasakan ringgit adalah mungkin ditahap 8 hingga 10 peratus lebih rendah daripada sepatutnya berada.

"Dengan data-data yang saya katakan, kita rasakan ringgit akan terus mengukuh dijangka mengukuh ke tahap RM4. 50 sebelum hujung tahun ini," tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) di Dewan Rakyat pada Khamis yang mempersoalkan faktor penurunan nilai mata wang ringgit yang tidak mencerminkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang menggalakkan.

Dalam pada itu, pelbagai usaha sedang giat dijalankan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memantau penukaran hasil wang esport ringgit.

Antara usaha yang diambil ialah mengalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam pasaran eskport dan mengurangkan kebergantungan pada mata wang dolar Amerika.