awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Bursa Malaysia melonjak 1.4 peratus, cecah paras tertinggi baharu sejak pertengahan Okt 2018
Tiada pertindihan aplikasi dalam pelepasan melalui autogate kod QR - KP Imigresen
Ringgit ditutup pada paras 3.96 berbanding dolar AS untuk kali pertama sejak 2018
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Ringgit ditutup pada paras 3.96 berbanding dolar AS untuk kali pertama sejak 2018

Bernama
Bernama
26/01/2026
13:16 MYT
Ringgit ditutup pada paras 3.96 berbanding dolar AS untuk kali pertama sejak 2018
Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 3.9615/9670, meningkat satu peratus berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ringgit melonjak melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini berikutan mata wang itu meneruskan aliran meningkat bermula minggu lepas, mencerminkan sentimen yang semakin baik terhadap asas ekonomi dan kestabilan dasar negara.

Ringkasan AI
  • Ringgit melonjak melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS, mencerminkan sentimen baik terhadap asas ekonomi negara serta kestabilan dasar.
  • Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menyebabkan konsistensi dasar menjadi kekuatan, dipercayai pasaran.
  • Ringgit mengukuh berbanding mata wang lain termasuk pound Britain, euro, yen Jepun, dolar Singapura, baht Thailand, rupiah Indonesia, dan peso Filipina.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 3.9615/9670, meningkat satu peratus berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.
"Konsistensi dasar kini menjadi satu aset atau kekuatan," kata Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan merujuk kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat pada Khamis lepas.
Beliau berkata pasaran melihat BNM sebagai institusi yang boleh diramal, tidak reaktif dan berdisiplin, yang menyebabkan dasar monetari tidak lagi dilihat sebagai sumber risiko pertukaran asing (FX).
"Malaysia sedang diklasifikasikan semula dalam kelompok 'pasaran pesat membangun Asia yang berkualiti.'
"Pasaran menilai Malaysia bukan lagi semata-mata 'proksi China' tetapi lebih kepada hab pembuatan yang berkaitan dengan semikonduktor dan kecerdasan buatan serta menikmati manfaat daripada peralihan semula rantaian bekalan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perkara yang lebih penting bukanlah keputusan pasaran FX semata-mata, tetapi keyakinan bahawa mata wang Malaysia kini disokong oleh pemacu struktur, pelaburan, eksport dan kredibiliti dasar, bukan sahaja dipengaruhi oleh kitaran dasar monetari luar negara.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus memperlihatkan prestasi baik hari ini, antaranya berikutan kemungkinan pembabitan kerajaan Jepun dan Rizab Persekutuan untuk menstabilkan yen, yang menyumbang kepada sentimen positif dalam pasaran FX.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4166/4241 daripada 5.4177/4224, tetapi susut berbanding euro kepada 4.6999/7064 daripada 4.6993/7034 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5783/5820 daripada 2.5337/5361 Jumaat lepas.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1242/1288 daripada 3.1302/1330, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7441/7679 daripada 12.8362/8544, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 236.0/236.4 daripada 238.0/238.3 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.73 daripada 6.77/6.78 sebelumnya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#ringgit
#dolar AS
#ditutup tinggi
#mata wang
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan