KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan harga minyak yang merosot dan tekanan yang ditingkatkan oleh jangkaan meningkat mengenai keputusan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat esok, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5585/5595 berbanding dolar AS daripada 4.5495/5515 pada Isnin.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Eropah Craig Erlam berkata bank pusat, termasuk Bank of England, Swiss National Bank dan South African Reserve Bank, telah bersedia pada minggu ini untuk memberikan kenaikan kadar yang besar dalam usaha berterusan memerangi inflasi.

"Bank of Japan juga akan bermesyuarat pada Khamis tetapi topik perbincangan dijangka mengenai cara untuk menjana inflasi yang mampan dan yen yang meningkat," katanya dalam nota penyelidikan.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.16 peratus kepada US$91.85 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound kepada 5.2049/2060 daripada 5.1678/1700 semalam dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2341/2353 daripada 3.2261/2278 sebelum ini.

Unit tempatan turut susut berbanding euro kepada 4.5608/5618 daripada 4.5372/5392 pada Isnin dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1725/1734 daripada 3.1706/1724 semalam.

-- BERNAMA