KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US pada Jumaat, diheret data indeks harga pengguna (IHP) yang menyederhana pada Oktober 2023, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6830/6875 berbanding dolar US daripada 4.6775/6830 pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP terkini pada kadar 1.8 peratus bagi bulan Oktober menunjukkan bahawa kadar faedah sebenar telah meningkat, menunjukkan dasar monetari telah menjadi semakin ketat.

"Oleh itu, potensi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kelihatan agak terhad pada ketika ini walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) kekal berwaspada terhadap risiko inflasi," katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi Malaysia seperti yang diukur oleh IHP, menyederhana kepada 1.8 peratus pada Oktober 2023, paras terendah sejak April 2021 dengan IHP pada 130.9 mata berbanding 128.6 mata pada bulan yang sama setahun lalu.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.1059/1108 daripada 5.1092/1152 pada Khamis, melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.1295/1327 daripada 3.1342/1381, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.8767/8823 daripada 5.8740/8809.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4903/4940 daripada 3.4922/4969 dan melonjak berbanding baht Thai kepada13.1949/2139 daripada 13.2601/2813 semalam.

Bagaimanapun, unit tempatan turun berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.44/8.46 semalam dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 300.8/301.3 from 300.6/301.2 sebelumnya.

-- BERNAMA