Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup tidak berubah susulan minit mesyuarat FOMC menjejaskan dolar AS

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama namun lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka hari ini dengan sentimen berhati-hati menjelang pengeluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini, kata pakar ekonomi._BERNAMA
Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0750/0795 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0800 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS terkini menunjukkan pendirian yang kurang sependapat mengenai pengetatan dasar seterusnya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0750/0795 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0800 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat itu memberi kesan kepada dolar AS dalam persekitaran jangkaan bahawa bank pusat AS mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah untuk baki tahun ini, membantu mata wang tempatan itu kekal kukuh.

Ketika ini, kadar dana persekutuan (FFR) AS berada pada antara 3.50 peratus dan 3.75 peratus.

Selain itu, beliau berkata keputusan terkini Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus nampaknya memberi kesan positif terhadap ringgit.

“Kenyataan yang disertakan menunjukkan bahawa anggota MPC berminat untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang tahun dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat peratus dan lima peratus untuk 2026 mampu dicapai.

“Ini juga mengukuhkan pandangan bahawa OPR akan kekal stabil untuk 2026,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4654/4714 daripada 5.4369/4435 ketika ditutup pada Rabu, berkurangan berbanding euro kepada 4.6581/6633 daripada 4.6471/6528 dan menguncup berbanding yen Jepun kepada 2.5091/5120 daripada 2.5083/5114 ketika ditutup semalam.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1518/1558 daripada 3.1487/1528 ketika ditutup pada Rabu dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1886/2064 daripada 12.1685/1882 sebelumnya.

Bagaimanpun, ringgit melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 224.8/225.1 daripada 226.2/226.5 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.62/6.64 ketika ditutup pada Rabu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement