KUALA LUMPUR: Ringgit pulih daripada situasi terlebih jual untuk ditutup tinggi pada Selasa susulan sentimen yang positif berbanding dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7825/7865 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7900/7975 pada Isnin iaitu paras terendahnya berbanding dolar AS dalam tempoh 25 tahun.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata aktiviti membeli pada harga rendah membayangkan kemungkinan ringgit akan berada dalam aliran meningkat pada masa depan.

Selain itu, beliau percaya minat terhadap ringgit akan muncul kembali berikutan beberapa perkembangan positif dalam konflik Israel-Hamas.

"Semalam, dua tebusan dibebaskan oleh pejuang Hamas selain ketibaan bantuan kemanusiaan di Gaza.

"Bagaimanapun, pasaran masih tidak menentu susulan kemungkinan serangan darat oleh rejim zionis Israel dan apabila itu berlaku, bagaimanakah ia akan mengubah dinamik konflik yang berlaku sekarang," katanya.

Bank Negara Malaysia berkata pergerakan ringgit ketika ini dipengaruhi terutamanya oleh peristiwa global dan tidak mencerminkan asas ekonomi negara.

Oleh itu, Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour akan memastikan bank pusat melakukan apa yang perlu untuk memastikan ringgit terus diselaraskan dengan secara teratur.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 5.0881/0924 daripada paras penutup 5.0736/0815 pada Isnin, susut berbanding pound Britain kepada 5.8557/8606 daripada 5.8179/8270 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1960/1989 daripada 3.1935/1985 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara Asean lain kecuali peso Filipina, apabila ia meningkat kepada 8.42/8.43 daripada 8.43/8.44 sebelumnya.

Unit tempatan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 301.7/302.1 daripada paras penutup 300.5/301.2 pada Isnin, turun berbanding baht Thail kepada 13.2186/2352 daripada 13.1104/1359 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5003/5035 daripada 3.4731/4767.

-- BERNAMA