KUALA LUMPUR: Ringgit menunjukkan pengukuhannya berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir 2023 untuk mencapai paras 4.59 dan turut meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama dan Asean.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.5900/5980 berbanding dolar AS daripada 4.6055/6125 pada penutup Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan berbanding dolar AS hari ini, apabila ia mengambil petunjuk daripada penurunan mendadak dalam hasil bon AS.

Dilaporkan bahawa hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut lagi sebanyak 50 mata asas (bps) pada Disember 2023 selepas jatuh 53 mata asas pada November.

"Ia berada pada 5.0 peratus di pertengahan Oktober 2023 dan turun kepada 3.8 peratus pada Disember 2023.

"Ringgit berlegar pada 4.58 hari ini berbanding dolar AS, menghampiri paras sokongan segeranya pada 4.5778," katanya kepada Bernama.

Mata wang tempatan juga didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2356/2415 daripada 3.2723/2776 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 5.0729/0817 daripada 5.1242/1323 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8321/8422 daripada 5.8932/9022 pada penutup semalam.

Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4746/4812 daripada 3.4972/5031 pada penutup semalam dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.31 daripada 8.30/8.31 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.1/298.6 daripada 298.6/299.3 pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.3422/3760 daripada 13.4979/5260.

-- BERNAMA