PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan dakwaan menyekat kemasukan pihak luar ke perkampungan Orang Asli tanpa asas munasabah, sebaliknya 395 permohonan telah diluluskan pada tahun lepas manakala 255 lagi setakat Mei tahun ini.
JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa komited melaksanakan tadbir urus yang inklusif dan terbuka melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, agensi kerajaan serta institusi akademik.
JAKOA memaklumkan sebanyak 183 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan 72 lawatan akademik diluluskan setakat tahun ini selain hanya sebilangan kecil permohonan ditolak berikutan tidak mendapat persetujuan institusi Tok Batin atau Penghulu.
“Prosedur kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah JAKOA bukan bertujuan mewujudkan halangan birokrasi.
“Sebaliknya, ia sebagai mekanisme tadbir urus terbaik bagi memastikan setiap aktiviti menghormati prinsip persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan (FPIC) merangkumi persetujuan mandatori daripada institusi Tok Batin atau Penghulu.
“Prosedur ini penting untuk tujuan akauntabiliti dan pengurusan risiko, biosekuriti dan perlindungan kesihatan serta integriti data dan pemeliharaan budaya,” menurut kenyataan itu.
JAKOA kekal komited mempermudah urusan pihak yang ingin menyumbang dan bekerjasama demi manfaat komuniti Orang Asli secara bertanggungjawab dan beretika selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
JAKOA memaklumkan dalam keadaan tertentu, permohonan mungkin tidak dapat dipertimbangkan jika terdapat faktor yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan komuniti termasuk unsur eksploitasi kandungan, penyebaran fahaman tidak sesuai atau tindakan yang boleh mengganggu keharmonian institusi kepimpinan adat setempat.
-- BERNAMA