Ringgit yang lemah melewatkan pemulihan Malaysia Airlines, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar.

Beliau berkata semasa pelan penyusunan semula bagi syarikat penerbangan nasional itu dibuat, ringgit dijangka diniagakan antara 3.90 dan 3.95 berbanding dolar AS.

"Pada 2017, ringgit berlegar sekitar RM4.40 berbanding dolar AS. Ia diterjemahkan secara langsung kepada kira-kira setengah bilion kepada pendapatan Malaysia Airlines dengan cara yang negatif," katanya kepada pemberita pada kajian semula tahunan syarikat itu, di sini, hari ini.

Pemulihan syarikat penerbangan itu akan lewat antara enam dan 12 bulan disebabkan oleh kesan mata wang, katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata, pelan pemulihan itu masih beroperasi dalam tempoh masa yang dijangkakan dan syarikat penerbangan tersebut dijangka mendapat pulang modal pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada separuh pertama tahun depan.

"Apabila kami membuat (pelan pemulihan itu) tiga tahun lalu, kami menyasar syarikat penerbangan tersebut disenaraikan atau akan disenaraikan menjelang 2019, dan keuntungan merupakan satu daripada kriteria untuk disenaraikan," katanya.

Beliau berkata Malaysia Airlines bertambah baik dari segi pemulihan kos, peningkatan hasil dan mendapat semula keyakinan pelanggan.

"Jika anda lihat pada 2017, faktor muatan kami merupakan antara yang tertinggi dalam pasaran, dan tahun lepas kami juga membina semula jenama dan mendapat kembali pelanggan kami," kata Azman.

Beliau berkata dua daripada pasaran di mana Malaysia Airlines terjejas teruk akibat hilang keyakinan pelanggan, Australia dan Asia Utara, kini merupakan pasaran paling kukuh syarikat penerbangan itu.

-- BERNAMA