Skip to main content

Bisnes

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS menjelang data IHP AS dikeluarkan

61750923401_wangringgitgaji.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0630/0670 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0720 semasa ditutup pada Rabu. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis walaupun harga minyak mentah meningkat dan jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) selain pelabur menantikan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dikeluarkan pada Jumaat ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0630/0670 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0720 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent dicatatkan pada kira-kira US$101 setong, perkembangan yang dapat mengukuhkan alasan untuk kenaikan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan.

“Walaupun sedemikian, ringgit mencatat prestasi yang baik berbanding dolar AS. Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada pengukuhan itu dapat dikekalkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata data inflasi AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat akan dipantau untuk petunjuk mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan, yang boleh mempengaruhi pergerakan ringgit dalam tempoh terdekat.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.7269/7315 daripada 4.7275/7333 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6431/6459 daripada 2.6474/6509 semasa ditutup pada Rabu.

Mata wang tempatan berubah sedikit berbanding pound kepada 5.5046/5100 daripada 5.5043/5110 sebelum ini.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2113/2148 daripada 3.2150/2192, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3331/3497 daripada 12.3579/3788, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.5/231.8 daripada 232.2/232.6 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.49/6.50 daripada 6.50/6.52 pada Rabu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement