KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) setakat ini kekal bertanding di 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan sebarang perubahan tertakluk kepada keputusan pimpinan gabungan itu.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, PH akan memberikan tumpuan kepada kerusi yang telah diumumkan.
“Kita telah umumkan 21 kerusi. Sekiranya ada apa-apa perubahan, kita serah kepada pimpinan untuk umumkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di IWK Eco Park@Pantai Dalam, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, PH akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan dan keupayaan gabungan itu sendiri, selain mengambil kira faktor strategik dan taktikal dalam menentukan penyertaan pada PRN berkenaan.
“Kita tahu esok (hari ini) ada beberapa parti lain yang akan umumkan calon-calon mereka. Itu hak mereka, tapi kita buat pertimbangan atas dasar perkiraan kemampuan dan keupayaan Pakatan Harapan sendiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, PH bakal menambah tiga kerusi untuk ditandingi pada PRN berkenaan, dengan PKR mendapat satu kerusi tambahan, manakala Amanah memperoleh dua lagi kerusi.
Perkembangan itu jika dimuktamadkan akan menyaksikan jumlah kerusi yang ditandingi PH meningkat kepada 24 berbanding 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
-- BERNAMA