Skip to main content

Dunia

Meme: China hargai permohonan maaf Mbappe kerana kenyataan singgung perasaan

China menghargai permohonan maaf yang dibuat penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe berhubung kenyataannya yang menyinggung perasaan rakyat China, kata jurucakap Kementerian Luar China. - Gambar fail/ Reuters
China menghargai permohonan maaf yang dibuat penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe berhubung kenyataannya yang menyinggung perasaan rakyat China, kata jurucakap Kementerian Luar China. - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

BEIJING: China menghargai permohonan maaf yang dibuat penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe berhubung kenyataannya yang menyinggung perasaan rakyat China, kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Selasa, Mbappe memohon maaf kepada rakyat China atas kenyataannya yang tidak wajar mengenai meme Internet yang memaparkan imej dirinya.

“Kami amat menghargai permohonan maaf yang disampaikannya,” kata Guo pada satu taklimat media.

Bagaimanapun, jurucakap itu tidak menyatakan sama ada permohonan maaf Mbappe akan membantu meredakan tindakan boikot oleh organisasi China dan reaksi negatif rakyat negara itu.

Sementara itu, China Media Group (CMG) mengesahkan penggantungan siaran perlawanan La Liga Sepanyol serta iklan yang menampilkan Mbappe dengan alasan bahawa permohonan maaf Real Madrid berhubung kenyataan pemain bola sepak itu yang menyinggung perasaan rakyat China masih tidak mencukupi.

Sekatan terhadap Mbappe akan diteruskan sehingga kelab itu mengemukakan permohonan maaf yang memuaskan, menurut organisasi itu.

Kontroversi tercetus di China susulan satu temu bual yang menyaksikan Mbappe dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan negara itu ketika membincangkan meme Internet kegemarannya.

Media Barat melaporkan bahawa jenaka Mbappe itu merujuk kepada seorang tokoh politik bersejarah dari China.

Platform berita bola sepak terbesar China Dongqiudi, enggan menterjemahkan temu bual itu ke dalam bahasa Cina.

Kenyataan pemain bola sepak itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial di China, sekali gus mendorong pengeluar minuman Eastroc Beverage dan syarikat makanan Mengniu Dairy membatalkan kontrak dengan bintang bola sepak berkenaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

TAG:, China, menghargai

Must Watch Video

Advertisement