HYDERABAD: Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman pada Rabu mengkritik pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi kerana mendakwa konglomerat terkemuka negara itu, Tata Group, sedang dimusnahkan.
"Saya cadangkan supaya anda tidak mempolitikkan setiap isu," kata Sitharaman menerusi platform media sosial X sebagai respons terhadap hantaran Rahul mengenai konglomerat gergasi itu.
Tata Sons, syarikat induk Tata Group, berdepan kemungkinan disenaraikan di pasaran saham meskipun Tata Trusts, kumpulan amanah kebajikan yang memegang kepentingan kawalan dalam syarikat itu, dilaporkan menentang langkah berkenaan.
Syarikat itu turut berdepan kontroversi dalam kalangan lembaga pengarah berhubung kemungkinan pelantikan semula Pengerusi Tata Sons, Natarajan Chandrasekaran, bagi satu lagi penggal.
Media melaporkan secara meluas bahawa Pengerusi Tata Trusts, Noel Tata, mempunyai perbezaan pendapat dengan Chandrasekaran.
"Tata sedang dimusnahkan secara jenayah, dan tiada seorang pun pemimpin perniagaan berani bersuara," kata Rahul pada Rabu.
Sitharaman memberitahu pemimpin pembangkang itu bahawa "tindakan sewenang-wenangnya melabelkan perkara komersial dan perundangan sebagai jenayah adalah tidak boleh diterima."
-- BERNAMA