KUALA LUMPUR: Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS, mata wang utama lain serta mata wang negara-negara ASEAN pada Jumaat walaupun data ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah lebih kukuh berbanding jangkaan.
Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.0860/0910 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1200 ketika ditutup pada Khamis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, walaupun data ekonomi terkini AS itu menunjukkan pertumbuhan kukuh, butiran di sebalik angka itu menunjukkan ekonomi AS berkembang secara tidak seimbang, dengan pertumbuhan itu sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan modal dan perbelanjaan kerajaan manakala perbelanjaan pengguna merosot dengan ketara.
"Keadaan ini mendorong pelabur menyemak semula jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS sekali gus menyebabkan hasil bon AS menurun dan mengurangkan tekanan terhadap mata wang Asia, termasuk ringgit," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan, AS merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama 2026, melebihi unjuran konsensus 1.6 peratus.
Sementara itu, kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS pada Mei berjumlah 4.1 peratus seiring dengan jangkaan pasaran.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata anggaran akhir KDNK AS bagi suku pertama 2026 menunjukkan kelemahan asas ekonomi negara itu berikutan perbelanjaan pengguna selaku pemacu utama pertumbuhan hanya meningkat 0.5 peratus.
"Ini menunjukkan bahawa punca utama inflasi yang lebih tinggi disebabkan peningkatan kos bahan api. Oleh itu, kenaikan kadar faedah tidak dapat menurunkan kadar inflasi," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4013/4079 daripada 5.4261/4314 ketika ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 4.6605/6662 daripada 4.6762/6807 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5283/5316 daripada 2.5437/5464.
Mata wang tempatan itu turut mengukuh berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1581/1625 daripada 3.1742/1775 ketika ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2445/2643 daripada 12.3370/3538.
Unit tempatan juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.3 daripada 229.4/229.7 semalam dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.71/6.72.
-- BERNAMA