KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menyeru barisan kepimpinan agar berani bertindak sebelum konsensus dicapai sepenuhnya, menanggung kos jangka pendek demi kebaikan jangka panjang, dan membina pakatan yang mampu bertahan melangkaui tempoh mana-mana mandat bagi menangani isu batasan planet dan krisis alam sekitar.
Baginda bertitah tindakan bermakna memerlukan kejujuran terhadap halangan yang wujud, perhatian kepada komuniti yang sedang berdepan dengan perubahan alam sekitar serta kerjasama merentasi bidang sains, kewangan, perundangan, agama dan sektor lain.
"Hal ini menuntut kepimpinan yang bersedia bertindak sebelum konsensus dicapai sepenuhnya, menanggung kos jangka pendek demi manfaat jangka panjang dan mewujudkan pakatan yang mampu bertahan melebihi tempoh mana-mana mandat," titah baginda pada perasmian Global Tipping Points Conference 2026 di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah pendedahan Asia kepada risiko alam sekitar tidak dapat dipisahkan daripada keupayaannya untuk menerajui usaha menangani cabaran itu, dengan merujuk kepada percubaan perbandaran yang berimpak besar, peralihan tenaga bersih, serta tradisi lama masyarakat dalam memelihara sumber alam semula jadi yang dikongsi bersama.
"Kita bukan rantau yang menunggu untuk diselamatkan. Sebaliknya, kita ialah rantau dengan usaha penyelamatan sudah pun bermula, meskipun tidak sekata dan belum menyeluruh," titah baginda.
Baginda bertitah peralihan monsun, peningkatan suhu laut dan cuaca panas yang berulang sudah menjejaskan petani di Delta Mekong, komuniti nelayan di Segitiga Terumbu Karang dan pekerja luar di kawasan bandar.
Oleh itu, baginda menyeru peserta persidangan supaya mendengar suara mereka yang paling hampir dengan kesan perubahan tersebut, termasuk petani, komuniti nelayan dan golongan muda yang akan mewarisi kesan keputusan yang dibuat hari ini.
Merujuk kepada usaha pemuliharaan di Royal Belum, Perak, Sultan Nazrin bertitah jumlah jerat yang digunakan pemburu haram aktif telah menurun lebih 90 peratus, dengan tiada jerat direkodkan sejak 2022, manakala kamera perangkap turut merakam kelibat seekor harimau betina dengan empat ekor anak, dan terkini seekor lagi harimau betina bersama dengan dua ekor anak.
"Inilah gambaran sebenar usaha pemuliharaan selepas ucapan selesai: yang bersifat merentas generasi, beransur-ansur dan diukur bukan menerusi pengisytiharan, tetapi melalui jumlah kelahiran anak harimau dan jerat yang dibuang," titah baginda.
Menyentuh kemunculan pesat kecerdasan buatan (AI), Sultan Nazrin memberikan amaran bahawa dunia kini memasuki hybrid tipping zone, apabila pilihan berkaitan teknologi akan membentuk keupayaan manusia, perpaduan masyarakat, kemakmuran dan kesihatan planet secara saksama.
Baginda turut menyeru agar pelaburan terancang dan berterusan dalam keupayaan minda manusia menerusi "literasi berganda" – gabungan keupayaan untuk memahami nilai dan pertimbangan manusia dengan penguasan teknologi yang membentuk pilihan harian.
Kualiti kerjasama yang bakal terjalin, titah baginda, bergantung pada usaha memupuk keupayaan manusia dan AI, dengan manusia menyumbang makna, nilai, imaginasi dan kebijaksanaan membuat keputusan, manakala teknologi pula memperluas keupayaan mereka untuk menganalisis, meneroka dan bertindak.
Sultan Nazrin bertitah deklarasi yang akan dirangka sepanjang persidangan empat hari itu perlu menggariskan perkara yang diputuskan di Kuala Lumpur dan hal-hal yang akan diteruskan pada persidangan tahun hadapan di Potsdam, selain menjadi panduan kepada usaha di rantau ini.
Baginda turut menggesa peserta supaya mengenal pasti bidang yang berpotensi membawa perubahan positif dan komited untuk bertindak, sambil menegaskan bahawa tempoh yang diperlukan untuk memulihkan alam sekitar mengukuhkan lagi alasan untuk bertindak segera.
"Perubahan positif yang kita lakukan hari ini mungkin mengambil masa berdekad-dekad untuk menampakkan hasil. Perkara ini juga sama sekali bukan alasan untuk menangguhkan perubahan tersebut, malah merupakan alasan paling kukuh untuk kita bertindak sekarang," titah baginda.
Persidangan selama empat hari yang berlangsung di Sunway University mulai hari ini hingga 15 Okt itu, merupakan persidangan pertama siri berkenaan di Asia yang menghimpunkan saintis, penggubal dasar, golongan pembiaya, pemimpin agama dan wakil masyarakat sivil untuk meneroka cara titik peralihan positif mempercepat perubahan alam sekitar dan sosial.
-- BERNAMA