KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini ketika para pelabur menilai jangkaan tempoh masa dan kekerapan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6925/6965 berbanding paras penutup 4.6670/6745 pada Isnin.

Standard Chartered Bank menjangka Fed menurunkan kadar faedah sebanyak empat kali pada 2024, berjumlah 100 mata asas, dengan inflasi dan geopolitik akan menjadi faktor ancaman kepada senario ini.

Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengelakan risiko menjadi tumpuan utama apabila nilai Indeks Dolar AS meningkat sebanyak 0.52 peratus kepada 102.932 mata.

Pada masa yang sama, People's Bank of China mengejutkan pasaran dengan tidak menurunkan kadar faedahnya manakala dolar AS meningkat kukuh berbanding mata wang utama lain termasuk euro dan pound Britain, katanya.

"Sehubungan itu, ringgit terus menyusut kira-kira RM4.68 berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain pada penutup dagangan hari ini.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.1073/1117 daripada 5.1076/1158 pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 5.9299/9350 daripada 5.9388/9483 dan menokok sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.2013/2043 daripada 3.2029/2085 sebelumnya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara Asean.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2579/2748 daripada 13.3518/3802 tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5003/5038 daripada 3.4982/5041 pada Isnin.

Ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.36/8.38 dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 300.9/301.3 daripada 299.9/300.6.

-- BERNAMA