KUALA LUMPUR: Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$115.2 bilion setakat 30 September 2021.

Menurut bank pusat dalam satu kenyataan, jumlah itu telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

"Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan 1.3 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek," kata BNM.
 
BNM berkata daripada jumlah itu, AS$102.5 bilion merupakan Rizab Mata Wang Asing, AS$1.4 bilion kedudukan Rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Hak Pengeluaran Khas (SDR) AS$6.1 bilion, manakala emas berjumlah AS$2.2 bilion dan Aset Rizab lain bernilai AS$3 bilion.

Pada 30 Ogos Rizab Antarabangsa BNM berada pada AS$116.3 bilion.