Syarikat pemula atau ‘startup’ yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kini boleh menarik nafas lega.

Ini selepas kerajaan menerusi Kementerian Kewangan bersetuju menyediakan peruntukan Malaysia Debt Ventures (MDV) sehingga RM100 juta.

Program pembiayaan ini dikenali sebagai Technology Start-up Funding Relief Facility (TSFRF) bermula 15 Mei 2020 ini dengan menyediakan bantuan kewangan.

Ini antara langkah bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan syarikat pemula terpilih.

Difahamkan, TSFRF terbuka kepada semua syarikat pemula tempatan dan majoriti pendapatan dijana dalam dua negara.

Dalam pusingan pertama kaji selidik yang dilakukan MaGIC, 40 peratus syarikat pemula tempatan dijangka gulung tikar dalam tempoh dua bulan yang terjejas akibat COVID-19.

Manakala dalam pusingan kedua kaji selidik oleh agensi itu, hampir 50 peratus syarikat pemula memerlukan talian hayat antara RM500,000 sehingga RM1 juta untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020.


Dana pembiayaan RM100 juta itu diselaraskan bersama peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi dana teknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ini termasuklah agensi-agensi MDV, CRADLE, MAVCAP, MTDC dan MaGIC, ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaan (jumlah terkini) sebanyak RM315 juta.


Peruntukan ini disalurkan kepada syarikat-syarikat pemula dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar dalam reaksinya di Twitter mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas pengumuman itu.

Katanya, pembiayaan dana RM100 juta ini bantuan yang sangat diperlukan untuk (membantu) ekosistem syarikat pemula.


Pakej rangsangan ini menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung oleh pemohon. Proses ini akan dibuat secara cepat dan mudah.

Maklumat lanjut mengenai TSFRF boleh diperolehi menerusi laman web MDV (www.mdv.com.my).