KUALA LUMPUR: Tahap perlindungan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah apabila hanya sekitar empat daripada 10 individu mempunyai perlindungan kewangan, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang besar untuk industri berkenaan.
Pengasas Kumpulan Al Isra’, FWD Takaful, Fadzli Mat Noor berkata situasi itu membuktikan masih ramai rakyat yang belum mempunyai perlindungan mencukupi bagi menghadapi risiko kewangan akibat kemalangan, penyakit atau kehilangan pendapatan.
Menurut beliau, jurang perlindungan tersebut membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk membina kerjaya dalam industri takaful sambil membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan kewangan.
“Berdasarkan statistik industri, hanya kira-kira empat daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans atau takaful. Ini menunjukkan masih terdapat ruang yang luas untuk kita mendidik masyarakat mengenai kepentingan perlindungan kewangan.
“Pada masa sama, industri ini menawarkan peluang kerjaya yang fleksibel dan berpotensi tinggi kepada mereka yang mahu meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata ramai golongan muda kini memilih kerjaya takaful kerana bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan, malah dapat membangunkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan jaringan profesional yang luas.
Sementara itu, Pengasas Kumpulan Al Isra’, FWD Takaful, Othman Shaharum berkata FWD Takaful menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi membantu ejen membina kerjaya yang mampan dan berkembang dalam industri.
Katanya, antara sokongan yang ditawarkan termasuk latihan berstruktur, program bimbingan berterusan, pembangunan kepimpinan serta penggunaan platform digital yang memudahkan urusan jualan dan pengurusan pelanggan.
“Ejen diberikan laluan kerjaya yang jelas untuk berkembang daripada Advisor kepada Builder dan seterusnya menjadi Leader.
“Kami juga menyediakan pelbagai program insentif, ganjaran serta sokongan perniagaan bagi membantu mereka membina pangkalan pelanggan dan mengembangkan pasukan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, FWD Takaful turut menawarkan program pembangunan kepimpinan kepada ejen berpotensi selain mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong pertumbuhan dan kejayaan bersama.
Katanya, gabungan sokongan latihan, teknologi dan pembangunan kerjaya itu penting bagi melahirkan lebih ramai perunding takaful yang mampu memenuhi keperluan pasaran yang masih luas di negara ini.
Kedua-dua mereka berkata demikian dalam temu bual Agenda Awani pada Rabu.