Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Malaysia secara rasmi tawar bantu Indonesia, tunggu keizinan Prabowo - Zahid

Gibran Rakabuming
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan di Istana Wakil Presiden, Jakarta pada Khamis. - Astro AWANI
Advertisement

JAKARTA: Malaysia bersedia menghantar sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan di Istana Wakil Presiden, Jakarta pada Khamis.

Jelas Zahid, ini bagi membolehkan Malaysia membantu usaha memadam kebakaran dengan menyiram air di kawasan terbakar, tertakluk kepada keizinan Indonesia.

“Pesawat Bombardier itu akan digunakan untuk membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum disiram ke kawasan yang terbakar, manakala tiga helikopter turut disediakan untuk melaksanakan operasi sama.

“Malaysia sangat prihatin terhadap permasalahan yang berlaku ini kerana ia berlaku setiap tahun sama ada pembakaran secara terbuka di Kalimantan atau Sumatera dan jerebu itu datang ke Malaysia.

“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini. Setakat ini belum dapat lagi (kebenaran).

"Tadi saya bawa ke Gibran dan beliau akan bawa ke Prabowo untuk persetujuan daripada pemerintah Indonesia. Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid memaklumkan, 52 anggota yang disediakan itu terdiri daripada agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, usaha itu bukan bertujuan mencampuri urusan Indonesia, sebaliknya sebagai langkah membantu menangani masalah jerebu yang merentas sempadan.

“Kami tidak berhasrat untuk campur dalam hal ehwal Indonesia tetapi kami ingin membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya itu dapat diselesaikan segera.

“Pada masa sama, kita akan terus membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui langkah-langkah hubungan diplomatik yang khusus kerana masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua negara juga perlu mengelakkan sebarang tindakan saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian dan langkah mitigasi bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Paling penting bagi kita ialah menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlaku setiap tahun. Ertinya perlu ada pelan mitigasi atau perancangan supaya ia tidak berlaku," katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pasukan pengurusan bencana Indonesia menerusi pertemuan, latihan bersama serta penglibatan dalam usaha pengurusan bencana serantau.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, lawatan rasminya ke Indonesia selama empat hari ini turut dimanfaatkan bagi membincangkan kerjasama dalam pembangunan luar bandar serta beberapa bidang lain.

Beliau turut mengundang Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, Yandri Susanto, untuk berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan luar bandar negara.

“Saya dengan rasminya di depan para wartawan ingin mengundang Bapak Susanto untuk berkunjung ke Malaysia dan melihat bagaimana pembangunan pedesaan itu kita lakukan.

“Insya-Allah mungkin ini akan sama-sama kita berkongsi, mempelajari sesuatu yang baik demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk-penduduk di pedesaan,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement