KUALA LUMPUR: Dua warga asing yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket selain berperanan sebagai ahli kimia antara 11 individu ditahan susulan pembongkaran makmal dadah haram membabitkan rampasan bernilai RM35.24 juta menerusi Ops Rumbia, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua individu berkenaan masing-masing memiliki pasport Kanada dan Australia, namun status kewarganegaraan sebenar mereka masih dalam siasatan.
Beliau berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari lalu itu menjadikan sebuah banglo di Ampang, Selangor sebagai makmal memproses dadah.
“Op Rumbia yang dilaksanakan pada 10 September lalu menyaksikan enam siri serbuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan 11 suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan.
"Mereka terdiri daripada enam lelaki tempatan serta lima warga asing membabitkan dua lelaki dan tiga wanita. Daripada 11 orang itu, dua daripada mereka adalah ketua sindiket dan juga berperanan sebagai ahli kimia,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah banglo di Ampang membawa kepada penemuan kira-kira 345 kilogram serbuk disyaki Methamphetamine, cecair disyaki methamphetamine serta serbuk MDMA.
Polis turut menemukan sebuah pistol jenis revolver .38 bersama tujuh butir peluru hidup selain pelbagai mesin dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Katanya, serbuan kedua di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pula membawa kepada rampasan kira-kira 3.5 kilogram serbuk MDMA, ganja dan pil Erimin 5.
Sementara itu, satu lagi premis di sekitar Subang Jaya ditemukan dengan pelbagai peralatan pemprosesan dadah dan dipercayai sedang disiapkan untuk dijadikan makmal dadah haram, namun belum beroperasi secara aktif.
Secara keseluruhan, katanya rampasan membabitkan kira-kira 345 kilogram serbuk methamphetamine, 347 kilogram cecair methamphetamine, 3.84 kilogram serbuk MDMA, pil Erimin 5 dan ganja dengan nilai dianggarkan RM35.24 juta.
Hussein berkata, jumlah rampasan yang besar menunjukkan bekalan itu bukan hanya ditujukan untuk pasaran tempatan, malah turut dipercayai disalurkan ke pasaran antarabangsa.
“Jadi, jumlah sebesar ini bukan lagi untuk pasaran tempatan. Dia memang sebagian ini pergi ke pasaran antarabangsa.
“Dalam kenyataan saya sebelum ini, pasaran antarabangsanya melibatkan aliran daripada semenanjung pergi ke Indonesia, pergi ke Sabah Sarawak dan sampai ke Filipina.
“Selain dari rantau ini, dia juga pergi ke beberapa negara lain melalui laluan udara dan sebagainya,” katanya.
Menurut Hussein, rangkaian berkenaan beroperasi secara berlapis dengan beberapa pihak memainkan fungsi berbeza, daripada mendapatkan bahan mentah dan memproses dadah sehingga kepada orang tengah serta penghantaran ke destinasi.
“Dia bukan melibatkan satu sindiket, dia beberapa sindiket,” katanya.
Dalam pada itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.08 juta.
Sitaan antaranya membabitkan 11 kenderaan, sebuah jam tangan, dua kad bank serta wang tunai RM3,610.
Ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif methamphetamine, manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan seorang lagi mempunyai rekod kesalahan jenayah.
Serbuan berkenaan merupakan tindakan susulan hasil risikan berterusan daripada dua operasi terdahulu membabitkan serbuan makmal dadah di Puncak Alam, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.