BISNES
RMK13 pacu ekonomi bernilai tinggi, kekalkan lebihan dagangan - Amir Hamzah

Kerajaan menjangkakan lebihan dagangan negara dapat dikekalkan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menumpukan pembangunan industri bernilai tinggi serta peningkatan kompleksiti ekonomi, kata Amir Hamzah. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan lebihan dagangan negara dapat dikekalkan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menumpukan pembangunan industri bernilai tinggi serta peningkatan kompleksiti ekonomi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, meskipun import dijangka kekal tinggi sejajar dengan keperluan pembangunan ekonomi, Malaysia telah lama mencatatkan lebihan akaun semasa dan keseimbangan perdagangan yang positif.
"Imbangan sentiasa memihak kepada kita. Namun pentingnya, bila kita mengolah industri-industri baharu dan melabur dalam sektor bernilai tinggi, kita dapat meningkatkan nilai tambah dan mengekalkan lebihan dagangan yang ada," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk "RMK13: Melakar Semula Pembangunan" terbitan Bernama TV yang disiarkan pada Khamis.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah menegaskan, RMK13 dirangka untuk melonjakkan daya saing negara menerusi peralihan struktur ekonomi ke arah sektor yang lebih kompleks dan berimpak tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta teknologi hijau."Kalau kita tidak berganjak, orang lain akan melangkaui kita dan itu akan menjadi isu untuk kita. Sebab itu kita perlu tingkatkan kompleksiti ekonomi supaya dapat menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, tingkatkan penggajian dan kekalkan daya saing," katanya.
Dalam konteks dasar perdagangan, beliau menekankan keperluan pendekatan lebih praktikal serta berani untuk berganjak daripada dasar lama agar selari dengan persekitaran global semasa.
"Kita kena praktikal. Apa yang mungkin penting dulu mungkin selari dengan persekitaran ada, tetapi sekarang perlu berubah. Sebagai contoh, jika dulu kita banyak bergantung kepada tenaga buruh asing kerana persaingan berasaskan input buruh yang tinggi, kini kita boleh beralih dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi.
"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan penggunaan teknologi dan digitalisasi serta memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja tempatan. Menerusi sistem pendidikan dan latihan lebih baik, kebergantungan kepada buruh asing juga akan berkurangan," katanya.
Amir Hamzah berkata, unjuran ekonomi Malaysia kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global menerusi sokongan pelaburan institusi domestik serta struktur ekonomi yang berdaya tahan.
"IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pun sudah naikkan unjuran (pertumbuhan) keluaran dalam negara kasar Malaysia kepada 4.5 peratus. Ini menunjukkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata, pendekatan holistik RMK13 akan disokong oleh pemantauan rapi serta mekanisme intervensi segera bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
Sehubungan itu, Amir Hamzah turut menyeru semua pihak untuk bersama menyokong perubahan melalui RMK13 demi kemakmuran dan kemajuan negara secara menyeluruh.
Dalam RMK13, imbangan perdagangan dijangka kekal positif pada RM116.3 bilion dengan lebihan akaun semasa sebanyak 2.2 peratus kepada pendapatan negara kasar pada 2030.
Pertumbuhan eksport kasar pula dijangka berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun dalam tempoh lima tahun bermula 2026.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami