HANYA pengecut atau orang gagal akan mengaku kalah sebelum bertanding.
Itu bukan matlamat mahupun kepercayaan yang diletakkan terhadap program pembangunan dua atlet papan selaju (skateboarding) kebangsaan, Mahathir Nor Daniel dan Momo Khan.
Akhirnya, selepas pendedahan dan program bertanding di pentas antarabangsa secara berterusan sejak 2023, atlet yang kita laburkan kepercayaan, Mahathir diterima penyertaan ke Sukan Olimpik Remaja yang bakal berlangsung di Dakar, Senegal bermula 31 Oktober ini.
Skater muda dari Kulai, Johor itu bakal beraksi dalam acara street skateboarding yang kali ini menawarkan pingat rasmi selepas hanya dipertandingkan sebagai acara pertunjukan pada edisi 2014 di Nanjing dan 2018 di Buenos Aires.
Sebagai salah seorang 'mastermind' program pembangunan ini, saya berasa amat bangga kita dapat menghantar wakil ke temasya berprestij seperti Olimpik, selepas kejayaan menghantar wakil bagi kategori park dan street (lelaki dan wanita) di Sukan SEA 2025 di Thailand.
Perjalanan ini penuh dengan cabaran. Langkah awal The Razkals bermula dengan modal dan titik peluh kami sendiri demi menerbangkan Mahathir dan Momo, dua skater pertama yang membawa cabaran negara di kejohanan dunia Street dan kelayakan Olimpik Paris 2024.
Pengorbanan tersebut membuahkan hasil apabila mereka kini diserap ke dalam program pembangunan khas Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE).
Program ini turut merangkumi sukan baharu Olimpik lain seperti luncur ombak dan mendaki tembok tiruan.
Mengapa latihan di luar negara menjadi keperluan?
Misi program ini sejak awal adalah menumpukan kelompok kecil remaja berkeupayaan.
Berkeupayaan ini bukan sahaja dari segi kemahiran, tetapi turut melibatkan sistem sokongan yang kuat melibatkan ibu bapa, kewangan dan juga disiplin serta sikap seseorang skater tersebut.
Menerusi tanggungjawab saya sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Skateboarding (NTC) MySKATE, beberapa atlet di bawah usia 14 tahun dikenal pasti sebagai pelapis.
Namun, timbul persoalan: Mengapa kita masih perlu memohon latihan di luar negara sedangkan Malaysia mempunyai banyak skatepark?
Jawapannya terletak pada kualiti dan spesifikasi kemudahan bertaraf dunia.
Untuk bersedia menghadapi halangan kompleks dalam jelajah antarabangsa World Skate Tour (WST), atlet memerlukan pendedahan kepada rakan sepapan yang hebat dan fasiliti yang menepati piawaian persaingan tinggi.
Di Malaysia, hanya dua skatepark yang boleh digunakan untuk kejohanan street antarabangsa iaitu di Pokok Sena, Pulau Pinang dan Presint 4, Putrajaya.
Kebanyakan skatepark lain dibina khusus untuk tujuan rekreasi dan tidak mengikut spesifikasi kejohanan.
Sebagai contoh, reka bentuk street skatepark tempatan lazimnya tidak mengikut reka letak 5-Star C-Class (Competition Facility) mahupun reka letak berkembar (mirrored layout).
Reka letak berkembar ini amat kritikal bagi memastikan keadilan pertandingan antara peluncur gaya regular (kaki kiri di depan) dan goofy (kaki kanan di depan).
Ini belum mengambil kira faktor saiz, kualiti lantai konkrit, pencahayaan, mahupun park skateboarding bertaraf dunia yang masih belum wujud di negara kita.
Peningkatan prestasi dan kematangan teknikal
Pembangunan atlet bukan sekadar membeli tiket penerbangan untuk bersiar-siar. Ia merangkumi kem latihan berpusat, kejurulatihan berkaliber, akses fasiliti yang tepat, sains pemulihan (recovery), pengurusan berstruktur, dan pendedahan (exposure) yang berterusan.
Melihat pencapaian Mahathir dan Momo, ibu bapa yang mengajar anak-anak mereka bermain papan selaju kini mula melihat sinar di hujung terowong, bahawa sukan ini mempunyai hala tuju dan masa depan yang nyata.
Pendedahan antarabangsa Mahathir dan Momo bermula seawal umur 13 dan 14 tahun di Kejohanan Dunia Street Tokyo World Skate.
Hari ini, hasil kerja keras itu mula membuahkan hasil:
- Kedudukan Ranking Dunia (WSR): Berdasarkan laporan prestasi kepada MSN, Momo kini berada di tangga ke-138 dunia manakala Mahathir di kedudukan ke-142 (berbanding kedudukan awal 210 dan 212 pada tahun 2023).
Pencapaian Kejohanan Tunggal (WST):
Tokyo (2023): Mahathir (ke-120), Momo (ke-122).
Rom (2025): Mahathir melonjak ke tempat ke-79, Momo ke-83.
Kitakyushu (2025): Momo menduduki tempat ke-77, Mahathir ke-83.- Top 6 ASEAN, tepati kriteria untuk bertanding di Sukan SEA.
- Mahathir layak untuk sertai Sukan Olimpik Remaja, berdasarkan kuota yang ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Kedua-duanya bukan sahaja berada dalam kelompok Top 30 Asia, malah membawa cabaran negara di Sukan SEA 2025, dengan Momo di tempat keenam dan Mahathir di tempat kelapan.
Dari sudut teknikal, kemajuan mereka amat ketara. Mahathir yang dulunya bergantung kepada dua trick utama di big section, kini menguasai variasi kompleks seperti lipslide, smith grind, kickflip to 50-50, dan gap-to-lipslide.
Momo pula berkembang daripada asas dua trick kepada variasi frontside feeble, smith grind, crooked grind, hurricane dan BS 5050.
Bagaimanapun, ranking WSR Mahathir dan Momo merosot semula selepas mereka terlepas dua kejohanan penting tahun ini, iaitu Kejohanan Dunia di São Paulo pada Mac dan World Cup di Rom pada Jun.
Ranking terkini mereka selepas Kejohanan Dunia di Asunción, Paraguay masih belum dikeluarkan oleh badan induk sukan luncur beroda dunia, World Skate.
Ketidakhadiran mereka bukan kerana tiada kesungguhan untuk bertanding, sebaliknya kekangan dana pendahuluan menjadi penghalang utama.
Kos penyertaan bukan sekadar melibatkan atlet, tetapi turut merangkumi pengurusan pasukan serta sokongan teknikal yang diperlukan bagi memastikan mereka dapat bertanding di pentas antarabangsa.
Apabila sistem bergantung kepada konsep "bayar dahulu, tuntut kemudian" tanpa modal awal yang cukup, pergerakan atlet akhirnya terhenti. Impaknya bukan sekadar terlepas satu pertandingan.
Kita kehilangan:
- Pengalaman bertanding di tahap tertinggi.
- Mata ranking antarabangsa yang berharga untuk kelayakan.
- Indikator untuk mengukur keupayaan berbanding atlet terbaik dunia.
Situasi ini amat merugikan dan menjadikan laluan menuju Los Angeles 2028 lebih mencabar dan semua pihak kini berusaha mencari jalan terbaik supaya masalah sama tidak berulang.
Apa yang mampu kita lakukan sekarang ialah terus berusaha dengan gigih, memperkukuh fizikal dan mental di tanah air, agar kita dapat meraih keputusan lebih baik dalam kejohanan WST akan datang dan seterusnya memperbaiki kedudukan ranking dunia.
Bukan sekadar atlet skateboarding
Mahathir dan Momo mula dipilih menerusi program pembangunan pasukan papan selaju profesional, The Razkals, yang ditubuhkan pada tahun 2020 oleh Shahrizul Ikwan dengan sokongan pengedar barangan papan selaju, Newsantara Distribution, serta jurulatih kebangsaan, Mariss Khan.
Menariknya, Mahathir bukan sahaja berbakat di atas papan selaju, malah beliau merupakan wakil olahraga dan rentas desa bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim Kulai (SMKSIK). Beliau pernah meraih pingat perak dalam acara 4 x 400 meter peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Kulai.
Meskipun begitu, atlet tempatan masih berdepan kekangan untuk memberikan komitmen 100% sebagai atlet profesional. Ekosistem semasa memerlukan mereka mengimbangi pelajaran sekolah, sementara kelab dan persatuan masih kekurangan dana untuk menyediakan sokongan sains sukan dan perubatan yang menyeluruh.
Bukan tentang dua atlet, tetapi generasi seterusnya
Apa yang paling menyemarakkan semangat saya di The Razkals dan NTC MYSKATE adalah kesedaran bahawa program ini bukan hanya untuk Mahathir dan Momo. Apabila prestasi mereka sudah mendatar seperti atlet Malaysia senior yang lain, kita akan kembali ke titik asal jika tidak mempunyai rantaian pelapis.
Di belakang Mahathir dan Momo di The Razkals, sudah ada bakat muda bawah 14 tahun seperti Ariel Raykal dari Pulau Pinang dan Nuh Zaffran di Johor Bahru, selain Zara Sofea dari Johor Bahru.
NTC MYSKATE turut melihat potensi besar pada Ammar Nikko, Haris dan Danish Hurairah serta Faris Anaqi. Skuad wanita juga tidak ketinggalan dengan kehadiran bakat seperti Adelia Haziqah (Yaya), Alya Zahra, Tia Adelisa (Chicha), dan Nurhidayah Mohd Syafiq (Dayah).
Kecuali Alya, semua masih berusia bawah 15 tahun.
Perbincangan kita tidak sepatutnya terhenti pada soalan "Apa jadi kepada Momo dan Mahathir?", sebaliknya "Apa masa depan untuk generasi selepas mereka?".
Langkah pertama menuju impian
Kejayaan melangkah ke Sukan Olimpik Remaja di Dakar ini merupakan langkah awal sebelum kita membina impian yang lebih besar iaitu Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032. Kita dah sampai Sukan SEA, Sukan Asia pula tak layak dari segi kriteria yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Jika generasi terdahulu menjadikan jaguh dua emas X Games Asia, Pa'din Musa (Ahmad Fadzil Musa) sebagai penanda aras, hari ini Mahathir dan Momo menggalas peranan tersebut.
Generasi baharu kini boleh memasang impian yang nyata: daripada skatepark tempatan, ke peringkat kebangsaan, SEA Games, World Skate, dan akhirnya Sukan Olimpik.
Semasa Pa’din menjuarai emas X-Games, tiada sistem pembangunan persatuan negeri, kelab, mahupun skatepark bertaraf antarabangsa, semuanya atas usaha sendiri untuk menjadi yang terbaik.
Sepatutnya skater generasi hari ini melangkah lebih jauh dengan sokongan dan kemudahan yang ada.
Ini adalah usaha pembangunan jangka panjang yang turut merangkumi perancangan jangka pendek. Perjalanan ini masih jauh, dan kita tidak perlu menunggu segala-galanya sempurna untuk bermula.
Budaya papan selaju di Malaysia sudah lama berakar, terus berkembang pesat, dan kita akan terus membinanya bersama-sama. Di sebalik setiap anak muda yang meluncur, ada ibu bapa yang berkorban, kelab yang membimbing, dan komuniti yang tidak henti menyokong.
Persoalannya, apakah peranan kita seterusnya untuk membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi?
Daripada seorang budak lelaki dari Kulai yang mula menyertai The Razkals pada usia 12 tahun, Mahathir kini bersedia membawa bendera Malaysia di pentas Olimpik. Setiap teguran dan kritikan akan kita jadikan panduan untuk memperbaiki kelemahan.
Yang paling penting, kita telah memulakan langkah pertama hari ini.
______________________________________________________________________________________________________
Ian Johan Ariff ialah penerbit kandungan dan wartawan penyiaran Astro AWANI berpengalaman lebih 19 tahun, dengan kepakaran dalam penceritaan sukan dan kandungan digital. Ian mula bergiat dalam skateboarding pada 1994 sebelum terlibat dalam pembangunan bakat sukan skateboarding di negara ini bersama The Razkals dan dipilih sebagai AJK Teknikal Skateboarding Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.