BISNES
Ryt Bank dilancarkan, bank pertama di dunia dikuasakan AI

Dibangunkan YTL Group dengan kerjasama Sea Limited, Ryt Bank merupakan satu langkah berani ke arah masa depan digital negara, menggabungkan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa serta gaya hidup yang membentuk identiti Malaysia. - Ryt Bank
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mencatat sejarah dengan pelancaran Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), dibangunkan oleh YTL Group dengan kerjasama Sea Limited.
Dilancarkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Ryt Bank direka khusus untuk rakyat Malaysia dengan menggabungkan inovasi AI terkini bersama nilai, bahasa dan gaya hidup tempatan.
Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, pelancaran Ryt Bank membuktikan kemampuan Malaysia untuk mencipta dan membangunkan inovasi yang setanding dengan piawaian global, namun kekal berpaksikan kepelbagaian budaya negara.
“Dengan Ryt Bank, kami telah membangunkan sebuah bank yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia – bank yang menggunakan bahasa kita, memahami budaya kita dan menetapkan penanda aras baharu untuk pengalaman perbankan moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ryt Bank menyatukan semua aspek kewangan anda, daripada simpanan dan faedah harian, sehinggalah kredit segera. - Foto Ryt Bank
Ryt Bank menawarkan akses dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin, sekali gus memastikan perkhidmatan perbankan inklusif untuk semua rakyat Malaysia. Aplikasi berbilang bahasa itu akan tersedia menjelang September 2025.
Ryt Bank menampilkan Ryt AI, pembantu perbankan pintar yang dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia.
Ia mampu memahami Bahasa Malaysia, Inggeris dan Manglish, serta bertindak balas terhadap keperluan perbankan harian seperti pembayaran bil, pemindahan wang dan pendidikan kewangan.
Antara ciri utama yang ditawarkan ialah:
- Perbankan Peribadi Pintar – Ryt AI mempelajari keutamaan dan tabiat pengguna, membolehkan transaksi lebih intuitif termasuk pindahan DuitNow, pembayaran JomPAY serta tip kewangan segera.
- Simpanan – Pelanggan menikmati kadar faedah sehingga empat peratus setahun yang dikreditkan setiap hari, tanpa tempoh penguncian.
- Ryt PayLater – Kredit segera sehingga RM1,499, tanpa faedah jika dibayar penuh dalam bulan pertama, selain pulangan tunai untuk transaksi DuitNow QR dan pembelian bersama rakan ekosistem terpilih.
- Kad Ryt (Visa) – Kad debit dan kredit pelbagai fungsi dengan pulangan tunai tanpa had 1.2 peratus untuk perbelanjaan luar negara, tanpa caj transaksi asing, pengeluaran ATM percuma di seluruh negara serta ganjaran eksklusif bersama rakan kerjasama seperti Shopee dan YTL Hotels.
Antara ciri keselamatan termasuk log masuk biometrik, penyulitan berlapis dan amaran penipuan masa nyata.
Applikasi bank itu kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.

Nadi utama Ryt Bank ialah Ryt AI, pembantu perbankan pintar AI yang dikuasakan oleh ILMU – model bahasa besar pertama yang dibangunkan di Malaysia. - Foto Ryt Bank
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami