BISNES
Sabah sasar catat pertumbuhan ekonomi pesat bawah RMK13

Hanifah Hajar berkata, Sabah menunjukkan potensi untuk melonjak sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia, selaras dengan visi Sabah Maju Jaya dalam kerangka Ekonomi MADANI. - Gambar Bernama
TAWAU: Sabah disasarkan mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih pesat pada kadar 5.8 peratus setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, perkara itu mampu dilakukan dengan memanfaatkan kekuatan yang ada dalam sektor agrokomoditi, pertanian, perikanan dan ekopelancongan yang unik di negeri berkenaan.
"Di bawah RMK13, tumpuan akan diberikan kepada penciptaan nilai seperti penghasilan produk hiliran, inovasi teknologi, ekonomi biru selain digital.
"Fokus khusus boleh diberikan kepada Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kalabakan yang mewakili hampir 900,000 rakyat Sabah termasuk sempadan strategik Malaysia-Indonesia," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Jalinan Borneo RMK13 Kementerian Ekonomi, di sini, pada Jumaat.Beliau berkata, antara fokus adalah menjadikan Tawau sebagai hab perdagangan dan perkhidmatan pantai timur Sabah, selain memperkukuh Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu sebagai hab agrokomoditi dan logistik serantau.
"Di samping itu memperkasa pelancongan marin dan konservasi terumbu karang di Semporna serta mengangkat Kalabakan sebagai pusat logistik dan perdagangan sempadan Nusantara, Indonesia terutama bagi produk tanaman makanan," katanya.
Hanifah Hajar berkata, Sabah menunjukkan potensi untuk melonjak sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia, selaras dengan visi Sabah Maju Jaya dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Sementara itu, beliau berkata, peruntukan RMK13 bagi Sabah semestinya lebih besar berbanding negeri lain kerana keperluan yang mendesak.
"Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, utiliti, ketersambungan Internet untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, program yang dilaksanakan hari ini bertujuan memberikan penerangan kepada rakyat, sekali gus mendapatkan maklum balas tentang keperluan atau keutamaan mereka untuk RMK13.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami