Saham Pharmaniaga Bhd terus meningkat dan muncul sebagai kaunter paling untung sehingga jam 10.55 pagi ini berikutan pengumuman prestasi arah aliran menaik suku ketiga.

Kaunter itu mencatatkan kenaikan 29 sen atau 3.52 peratus kepada RM8.54 selepas berkisar sekitar antara RM8.50 dan RM8.63 dengan 90,400 saham bertukar tangan.

Semalam, dilaporkan bahawa keuntungan pracukai syarikat itu bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2012, meningkat kepada RM29 juta daripada RM16 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM1.33 bilion daripada RM1.15 bilion.

Pengerusi Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata antara faktor pemacu bagi prestasi lebih baik ialah keperluan berterusan bagi rawatan perubatan, keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang dan peningkatan bilangan penduduk berusia.

"Tambahan pula, prestasi menaik itu juga adalah kesan positif oleh peningkatan produktiviti yang signifikan yang kami lakukan kepada sistem dan proses pengeluaran kami," katanya dalam satu kenyataan.