Skip to main content

Bisnes

Saham tenaga, perbankan pacu Bursa Malaysia meningkat lebih satu peratus

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI melonjak 21.50 mata atau 1.26 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,719.94 daripada 1,698.44 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan kukuh apabila meningkat lebih satu peratus untuk ditutup tinggi pada Selasa, dipacu minat belian yang amat memberangsangkan dalam kaunter minyak dan gas serta perbankan.

Pada masa sama, pelabur turut menjangkakan potensi harga tenaga yang lebih teguh susulan ketegangan baharu yang timbul antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 21.50 mata atau 1.26 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,719.94 daripada 1,698.44 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.25 mata lebih tinggi kepada 1,699.69 sebelum turun kepada paras terendah harian 1,698.21 semasa sesi awal.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 538, manakala 585 kaunter tidak berubah, 1,031 kaunter tidak diniagakan, dan 22 yang digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.52 bilion unit bernilai RM2.75 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.23 bilion semalam.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat, ditambah dengan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak telah mendorong kenaikan di kaunter berkaitan tenaga.

Beliau berkata hal itu turut membantu mengekalkan momentum positif di Bursa Malaysia.

Di seluruh rantau, prestasi ekuiti Asia ditutup bercampur-campur apabila pasaran menilai risiko geopolitik berbanding dengan jangkaan terhadap tinjauan dasar monetari global, katanya.

“Bursa Malaysia terus menunjukkan prestasi yang lebih baik berdasarkan komposisi sektor yang bersifat defensif dan kekukuhan saham berkaitan komoditi,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM11.00, Public Bank menambah 13 sen kepada RM5.05, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM14.40, dan CIMB menokok lapan sen kepada RM7.77, manakala IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.45.

Bagi saham aktif, Tanco meningkat 7.5 sen kepada 31.5 sen, HHRG menambah 3.5 sen pada 15 sen, Nationgate naik tujuh sen kepada 95.5 sen, manakala Velesto turun 1.5 sen kepada 27 sen dan Vinvest Capital menguncup satu sen kepada dua sen.

Antara saham paling untung, Petronas Chemicals melonjak 44 sen kepada RM4.79, Petronas Gas meningkat 42 sen kepada RM17.88, Hong Leong Bank menokok 36 sen kepada RM22.24, manakala Fraser & Neave dan Press Metal masing-masing menambah 34 sen kepada RM29.28 dan RM8.19.

Nestle mendahului senarai saham paling rugi apabila merosot RM1.22 kepada RM90.50, United Plantations susut 48 sen kepada RM34.54, Allianz berkurangan 32 sen kepada RM20.64, Chin Well menguncup 13.5 sen kepada 68.5 sen manakala Frontken dan Sunway Construction masing-masing turun 10 sen kepada RM4.74 dan RM7.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 107.97 mata kepada 12,661.93, Indeks FBMT 100 melonjak 112.06 mata kepada 12,498.66, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 94.65 mata kepada 12,492.04.

Indeks FBM 70 turun 29.34 mata kepada 17,797.02 dan Indeks FBM ACE kurang 2.95 mata kepada 4,862.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 219.43 mata kepada 20,239.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.99 mata kepada 188.51, Indeks Tenaga menokok 0.36 mata kepada 773.65, manakala Indeks Perladangan turun 19.10 mata kepada 9,368.42.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.84 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM1.96 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.12 bilion unit bernilai RM135.26 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM131.26 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 557.33 juta unit bernilai RM162.70 juta daripada 462.71 juta unit bernilai RM143.73 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 159.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (296.57 juta), pembinaan (122.62 juta), teknologi (227.31 juta), perkhidmatan kewangan (96.63 juta), hartanah (504.56 juta), perladangan (57.93 juta), amanah pelaburan hartanah (17.24 juta), dana tertutup (10,300), tenaga (233.24 juta), penjagaan kesihatan (53.73 juta), telekomunikasi dan media (18.40 juta), pengangkutan dan logistik (28.80 juta), utiliti (28.92 juta), dan amanah perniagaan (139,800).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement