Skip to main content

Malaysia

Penerima Dana Inovasi Media disyaratkan tidak buang pekerja - Fahmi

Fahmi berucap pada pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan bersama Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Media Malaysia 2026 hari ini.  - Foto Bernama
Fahmi berucap pada pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan bersama Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Media Malaysia 2026 hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Syarikat media penerima Dana Inovasi Media 2.0 RM30 juta dilarang membuang pekerja sewenang-wenangnya walaupun menghadapi kekangan kewangan.
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta syarikat media bermasalah operasi atau kewangan berbincang dengannya untuk mencari penyelesaian terbaik.
  • Kerajaan sedang berusaha membantu syarikat media mencari sumber pendapatan baharu susulan peralihan perbelanjaan pengiklanan ke platform media sosial.
Advertisement

PETALING JAYA: Syarikat media yang menerima Dana Inovasi Media 2.0 melibatkan peruntukan RM30 juta disyaratkan tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya walaupun berdepan kekangan kewangan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata mana-mana organisasi media yang berdepan masalah operasi dan kewangan diminta tampil berbincang dengan beliau bagi meneliti bantuan yang boleh diberikan dengan sedaya upaya.

"Kalau ada mana-mana syarikat media yang berhadapan dengan apa pun masalah, maklumkan kepada saya supaya kita nak pastikan tidak berlaku satu keadaan pekerja media berdepan dengan kesukaran atau kesusahan sebab dilepaskan.

Advertisement

"Saya tidak mahu, kalau boleh, tidak ada seorang pun (diberhentikan)... kalau ada masalah disiplin, itu perkara lain tetapi kalau masalah kewangan, please approach me, I am a very approachable person, kita akan cuba bantu dengan sedaya upaya kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan Wartawan bersama Yayasan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Media Malaysia (MMM) 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengerusi Yayasan CVSKL Tan Sri Rashpal Singh, Pengerusi ECM Libra Foundation Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Pengerusi MMM Tan Sri P. Nallini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata industri media kini berdepan cabaran susulan sebahagian besar perbelanjaan pengiklanan beralih daripada media arus perdana kepada platform media sosial.

"Saya tidak ingin melihat ramai wartawan yang hilang kerja akibat syarikat media ditutup… dalam tempoh beberapa tahun ini, kita nampak ada syarikat media yang telah melepaskan pekerja tetapi pihak kerajaan sedang berusaha melalui Dana Inovasi Media membantu syarikat-syarikat media terutama untuk mencari sumber pendapatan tambahan ataupun sumber pendapatan yang baharu," katanya.

Fahmi berkata beliau memperoleh maklumat bahawa terdapat penerima Dana Inovasi Media membuat keputusan melepaskan petugas atas sebab yang belum dimaklumkan setakat ini.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa terdapat syarikat media yang telah mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan kepada petugas, Fahmi berkata beliau akan menjemput pihak pengurusan syarikat berkenaan, sidang redaksi dan wakil MMM bagi mengadakan perbincangan lanjut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement