KUALA LUMPUR : Negara melaporkan perkembangan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang positif pada tahun 2020 meskipun negara berdepan tamparan hebat akibat pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata, terdapat beberapa indikator yang terjejas susulan krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia.

“Antara indikator yang bertambah baik ialah kualiti udara dan air, kes jenayah menurun, penggunaan internet meningkat, peningkatan wanita dalam jawatan pengurusan dan insiden kecederaan pekerjaan yang boleh membawa maut.

“Antara indikator yang merosot akibat pandemik COVID-19 ialah kadar pertumbuhan tahunan KDNK per kapita, bilangan penumpang di lapangan terbangan serta kadar kemiskinan mutlak dan pengangguran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, situasi COVID-19 turut mengakibatkan kesan laporan SDG negara terbahagi kepada tiga yang merangkumi sosial, ekonomi, dan alam sekitar.

Meskipun begitu, Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengarusperdanakan SDG dalam perancangan pembangunan negara.

SDG menjadi panduan untuk kerajaan merangka dasar bagi memastikan masa depan yang mampan.

Ia merangkumi semua cabaran pembangunan dunia moden, termasuk ekonomi, sosial, dan alam sekitar.