BISNES
Sebanyak RM11 bilion disalur melalui GEAR-uP, pacu sektor pertumbuhan tinggi - MOF

Amir Hamzah berkata dana itu telah disalurkan dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, serta inisiatif untuk memperkasakan komuniti dan membangunkan bakat tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak RM11 bilion telah disalurkan di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) sehingga 30 Jun 2025, kurang daripada setahun selepas inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) itu dilancarkan.
Ringkasan AI
- Sebanyak RM11 bilion telah disalurkan di bawah program GEAR-uP sehingga Jun 2025, dengan pelaburan tertumpu pada sektor semikonduktor, tenaga hijau, pembangunan komuniti dan bakat tempatan.
- Program ini melibatkan 34 GLIC dan GLC yang komited menyediakan gaji minimum RM3,100 kepada 153,000 pekerja, selaras dengan agenda reformasi gaji dan Ekonomi MADANI.
- GEAR-uP menyasarkan penggerakan RM120 bilion dalam lima tahun untuk memacu transformasi industri negara, dengan rancangan memperluas penyertaan lebih 30 GLC untuk meningkatkan nilai pasaran dan pembangunan usahawan Bumiputera.
"Program ini juga telah memperoleh komitmen daripada 34 GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan gaji wajar minimum bulanan sebanyak RM3,100 untuk 153,000 pekerja -- sekali gus memenuhi janji untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meneraju agenda nasional bagi reformasi gaji.
"Berpandukan objektif dan prinsip kerangka Ekonomi MADANI, GEAR-uP menyasarkan penggerakan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memacu reformasi sosioekonomi dan menggerakkan transformasi perindustrian negara," katanya.
GEAR-uP diterajui oleh enam GLIC utama iaitu Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Sejak program ini dilancarkan pada Ogos 2024, enam GLIC utama ini telah melabur lebih RM800 juta dalam ekosistem semikonduktor negara, memulakan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar (1,214 hektar) di Kerian dan Pulau Carey, dan menyokong lebih 50 syarikat dan dana tempatan melalui modal teroka dan ekuiti swasta.
Amir Hamzah berkata GLIC dan rangkaian GLC mereka juga telah meyalurkan lebih RM200 juta dalam bentuk biasiswa, menyokong lebih 8,000 belia B40 melalui program pembangunan bakat dan penempatan pekerjaan serta melaksanakan pelaburan komuniti sosial yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 rakyat Malaysia.
"GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal -- ia adalah penjajaran strategik. Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk memajukan industri masa hadapan dan pada masa sama meningkatkan pendapatan dan bina upaya serta merealisasikan kemakmuran yang dikongsi bersama.
"Ini melangkaui usaha memperkukuh asas ekonomi semata-mata. GEAR-uP adalah mengenai meningkatkan taraf hidup rakyat dan melahirkan juara serantau dalam industri berteknologi tinggi agar Malaysia dapat mencapai tahap yang lebih tinggi," kata beliau.
Pada masa hadapan, GEAR-uP akan diperluas kepada lebih 30 GLC di bawah GLIC.
Melalui pengembangan ini, ia menyasarkan untuk mencapai gabungan nilai pasaran RM100 bilion, menjana pulangan pemegang saham sebanyak 7.5 peratus, menyokong hasil bukan kewangan seperti pelaksanaan gaji kehidupan minimum, perkembangan usahawan Bumiputera, pembangunan bakat serta kepimpinan masa depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami