KUALA LUMPUR:Ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 3.4 peratus pada suku keempat 2020 berbanding berbanding penurunan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya

Untuk setahun penuh 2020, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus susulan kesan dan langkah kawalan pandemik COVID-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan untuk suku ketiga turut disemak kepada negatif 2.6 peratus.

"Antara faktor lain yang menyumbang kepada penguncupan termasuk gangguan bekalan komoditi akibat kekurangan buruh dan penutupan kemudahan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambahnya, semua sektor mencatatkan penguncupan kecuali sektor pembuatan akibat permintaan elektrik dan elektronik.

"Sektor perkhidmatan turut menguncup akibat sekatan pergerakan dan waktu pembukaan atau operasi susulan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam masa sama sektor pelancongan turut menyaksikan kadar pengangguran yang tinggi dan kadar pekerjaan baharu yang rendah.

"Berdasarkan data suku ke suku, pada suku keempat, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menguncup 0.3 peratus berbanding suku ketiga yang tumbuh 18.2 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, penggunaan awam mencatatkan perningkatan sebanyak 2.7 peratus dan penggunaan swasta menguncup 3.4 peratus pada suku keempat.

"Bagi penggunaan swasta, penguncupan susulan perbelanjaan isi rumah yang menurun dan sekatan pergerakan yang dilakukan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Eksport pula meningkat sebanyak 12.4 peratus pada suku keempat susulan eksport elektronik dan elektrik dan sarung tangan getah yang tinggi," jelasnya.