Skip to main content

Bisnes

Sektor perbankan Malaysia berpotensi raih dividen kukuh, aliran masuk dana asing - MBSB

dividen, bank, bernama

KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia dijangka terus mengekalkan asas kewangan yang kukuh serta menawarkan hasil dividen yang menarik, disokong oleh kestabilan geopolitik dan ekonomi negara yang terus merangsang aliran masuk dana asing.

MBSB Investment Bank Bhd berkata ia melihat masih terdapat ruang untuk kejutan positif dari segi dividen, dengan kemungkinan beberapa bank tempatan mengumumkan pembayaran lebih tinggi daripada jangkaan.

Advertisement

Menurut bank pelaburan itu, pasaran kini menumpukan perhatian kepada potensi pengumuman dividen, terutamanya selepas pengumuman dividen khas mengejut oleh CIMB Group Holdings Bhd pada suku lepas menjadi pemangkin utama kepada kenaikan pasaran.

“Kami berpendapat masih terdapat potensi kenaikan pada suku ini.

"Prospek ekonomi yang kukuh, hasil dividen yang tinggi dengan potensi peningkatan, kualiti aset yang cemerlang serta kestabilan geopolitik yang lebih baik berbanding negara serantau menjadikan bank-bank tempatan kelihatan amat menarik,” katanya dalam satu nota pada Jumaat.

Selain itu, bank pelaburan itu berkata panduan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan Basel IV dan rangka kerja modal Bank Negara Malaysia (BNM) bagi risiko kredit membolehkan bank-bank menggunakan lebihan modal mereka.

“Ini turut disokong oleh nisbah pinjaman terjejas kasar sistem perbankan Malaysia yang kini berada pada tahap terbaik pernah dicatatkan, sekali gus berpotensi membolehkan pengurangan lanjut dalam peruntukan.

“Beberapa bank sama ada telah mengumumkan dividen khas atau menyatakan hasrat untuk meningkatkan kadar pembayaran dividen,” katanya.

Sementara itu, bank pelaburan berkenaan menjangkakan pendapatan berasaskan fi akan terus memacu pertumbuhan hasil dalam tempoh terdekat, disokong sumbangan lebih kukuh daripada pengurusan kekayaan, bancassurance dan pasaran modal hutang, khususnya apabila prestasi pasaran, pertumbuhan pinjaman dan sentimen ekonomi bertambah baik.

“Kami menjangkakan pendapatan pelaburan akan sederhana, susulan penstabilan kadar faedah,” katanya.

Bank itu turut menjangka pertumbuhan pinjaman kekal neutral, berikutan pinjaman perniagaan yang semakin menyusut kebelakangan ini serta penurunan berterusan dalam pembiayaan modal kerja.

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman runcit juga berada pada trajektori menurun sejak beberapa tahun lepas.

“Kami melihat kitaran pemulihan sektor pembinaan, kestabilan geopolitik yang lebih baik serta pelaburan langsung asing sebagai pemacu pertumbuhan utama,” katanya.

Statistik BNM menunjukkan pinjaman perniagaan masih perlahan kebelakangan ini, meskipun pinjaman pembinaan dan gadai janji bukan kediaman mencatat prestasi yang baik.

Pinjaman modal kerja pula terus menguncup sejak dua tahun lepas, khususnya pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencatat penurunan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, katanya.

“Kami berpendapat keadaan ini mungkin disebabkan pengukuhan pesat ringgit, yang memberi kesan negatif kepada pengeksport,  yang merangkumi sebahagian besar asas PKS,” katanya.

Seiring dengan penilaian ini, bank pelaburan itu mengekalkan saranan “positif” terhadap sektor perbankan Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video