ALOR SETAR: Sepanjang lebih tiga dekad, stesen minyak yang sangat terkenal di bandaraya ini, Petron 1 Putra akan mengucapkan selamat tinggal kepada pelanggan-pelanggan setianya.

Stesen minyak berkenaan akan menghentikan operasi buat selama-lamanya bermula pukul 5 petang ini.

Terletak di Jalan Putra, bersebelahan Rumah Merdeka (rumah kepunyaan Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj), stesen yang menjadi identiti sepanjang jalan berkenaan terpaksa akur dengan keputusan dibuat kerajaan.

Menurut pengusahanya, Nor Said Mat Saad, sekalipun bersedih kerana stesen minyak itu perlu ditamatkan operasi, namun, beliau sekeluarga reda kerana yakin ada hikmah di sebalik penutupannya.

Kata Nor Said, sebelum dikenali sebagai Petron, stesen yang diusahakan beliau pada 1987 itu memulakan operasi atas jenama Mobil.

Sepanjang 36 tahun beroperasi di situ, Nor Said berkata, terlalu banyak pengalaman manis yang diraih beliau bersama adik-beradiknya yang turut membantu menjalankan operasi selain sejumlah kakitangan yang setia bersama-sama beliau di sepanjang menjalankan operasi.

“Sudah tertulis rezeki kami beroperasi sampai tarikh 31 Oktober 2023 sahaja. Sekalipun bersedih, namun, kami bersyukur kerana mendapat peluang dan pengalaman yang sangat manis dan bermakna sepanjang menjalankan operasi Petron di Jalan Putra.

“Sepanjang 36 tahun, kami berurusan dengan terlalu ramai pelanggan dari semua lapisan kaum sehingga sebilangan daripada mereka akhirnya menjadi sahabat akrab kami,” ujar Nor Said kepada Astro AWANI.

Antara tenaga yang mengusahakan Petron Putra 1 (dari kiri) Mohd Nidzamuddin Nor Said, Monirah Saad, Saniyah Saad, Nor Said Mat Saad, Maisarah Saad, Nadirah Nor Said dan Muhammad Naqib Nor Said.

Stesen minyak itu dihentikan operasi kerana kerajaan memutuskan untuk membangunkan jalan berkenaan dengan kerja-kerja menaikkan taraf.

Sehubungan penutupan itu juga, Nor Said dan seluruh ahli keluarganya berterima kasih kepada semua pelanggan yang setia menyokong perniagaan mereka sepanjang tempoh itu.

“Bagi pihak keluarga, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak kepada kami selama ini. Semoga anda semua akan diberi ganjaran atas kebaikan yang anda kongsi dengan kami,” ujar beliau lagi.