Skip to main content

Dunia

Malaysia kekal bebas jalin hubungan dengan AS, China - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri majlis makan malam bersama komuniti dan media Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Filipina, di Manila pada Ahad. - Foto Astro AWANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri majlis makan malam bersama komuniti dan media Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Filipina, di Manila pada Ahad. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar bebas tanpa membenarkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat menjejaskan hubungan dengan China.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia bebas menentukan hala tuju hubungan antarabangsa walaupun Amerika Syarikat adalah rakan dagang dan pelabur utama.
  • Anwar memberi jaminan kepada Amerika Syarikat mengenai keselamatan teknologi, namun menegaskan pendirian dasar luar bebas tetap dikekalkan.
Advertisement

MANILA: Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang bebas dan tidak membenarkan hubungan perdagangan serta pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS) menjejaskan hubungannya dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata meskipun AS merupakan rakan dagang nombor satu dan negara sumber pelaburan utama Malaysia, negara tetap mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju hubungan dengan negara lain.

Beliau berkata, pendirian itu penting bagi memastikan Malaysia terus mempertahankan dasar luar bebas, terutama ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik dan persaingan kuasa besar dunia.

Advertisement

“Kita perlu bijak mengemudi keadaan dalam tempoh sukar ini kerana apabila berdepan ketidaktentuan, tiada jaminan bahawa kita akan mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti dan media Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Filipina, di sini pada Ahad.

Advertisement

Anwar berkata, kira-kira seminggu lalu, beliau menerima panggilan daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang membangkitkan dasar Malaysia bagi memastikan kemudahan pusat data, cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI) negara tidak digunakan untuk memberikan manfaat kepada pihak lain.

Katanya, beliau memberikan jaminan berhubung perkara itu, namun menegaskan ia tidak boleh menjejaskan pendirian Malaysia untuk terus mengamalkan dasar luar yang bebas dan menjalin hubungan dengan negara lain termasuk China.

“Amerika Syarikat merupakan rakan dagang nombor satu dan negara sumber pelaburan utama Malaysia, tetapi itu tidak boleh menghalang keputusan kita untuk bertindak secara bebas dan menjalin hubungan dengan negara lain termasuk China.

“Jika syarat mereka ialah pelaburan dari Amerika tidak boleh menjejaskan kepentingan negara, itu adalah wajar.

“Anda sebagai pelabur boleh menentukan keputusan masing-masing, tetapi ia mesti dilaksanakan mengikut kerangka kita, dasar nasional serta perlindungan kepentingan negara,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement