Skip to main content

Malaysia

KUSKOP minta platform e-dagang kurangkan caj, komisen dikenakan terhadap peniaga kecil

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Live Hub x Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Bandar Perda hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran TikTok Shop Live Hub x Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Bandar Perda hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta platform e-dagang di Malaysia mengambil inisiatif mengurangkan kos, yuran dan kadar komisen yang dikenakan terhadap peniaga, khususnya golongan usahawan mikro dan kecil yang berdepan peningkatan kos operasi. 

Menterinya Steven Sim berkata langkah itu penting memandangkan kebanyakan peniaga kecil menawarkan produk buatan sendiri atau homemade dengan margin keuntungan yang terhad, sekali gus menyebabkan peningkatan caj platform memberi kesan langsung terhadap pendapatan mereka.

"Platform e-dagang perlu mempertimbangkan pelaksanaan struktur yuran dan komisen secara berperingkat, dengan kadar lebih berpatutan khusus untuk peniaga kecil bagi membantu golongan itu terus bertahan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar," katanya.

Advertisement

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran TikTok Shop Live Hub x TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) di Bandar Perda di sini yang turut dihadiri Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pengarah Kanan Kerjasama Strategik Tik Tok Malaysia Nur Azre Abdul Aziz.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut meminta TikTok menerajui usaha mengurangkan kadar komisen berkenaan supaya platform e-dagang lain dapat mengambil langkah sama, termasuk mempertimbangkan skim atau program khas yang menawarkan kadar lebih rendah kepada usahawan mikro dan kecil yang baru menceburi perniagaan dalam talian.

Advertisement

Beliau berkata KUSKOP menerima banyak aduan daripada usahawan dalam talian berhubung peningkatan caj yang dikenakan platform e-dagang dengan kenaikan kadar oleh satu platform turut dikhuatiri mendorong platform lain mengambil tindakan sama.

"Jadi, kita harap jangan tunggu sampai ada peraturan dan undang-undang, kita ambil satu pendekatan berhemah, khususnya platform-platform e-dagang ini bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan supaya dapat mencapai satu penyelesaian menang-menang," katanya.

Mengenai langkah kawal selia, Sim berkata aspek ketelusan mekanisme penetapan harga dan caj platform merupakan antara komponen penting yang akan diberi perhatian dalam penggubalan Rang Undang-Undang E-Dagang baharu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Bagaimanapun, beliau berharap platform e-dagang tidak menunggu sehingga undang-undang berkenaan dilaksanakan untuk mengambil tindakan, sebaliknya menunjukkan komitmen membantu peniaga kecil secara sukarela.

Mengenai persaingan daripada platform e-dagang asing yang menawarkan produk pada harga jauh lebih rendah berbanding peniaga dalam talian tempatan, Sim berkata KUSKOP melaksanakan strategi 3E sejak awal tahun ini bagi memastikan usahawan tempatan terus berdaya saing.

Beliau berkata strategi pertama ialah enforcement atau penguatkuasaan, dengan tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pesaing atau platform asing yang beroperasi di negara ini tetapi gagal mematuhi undang-undang tempatan.

"Strategi kedua ialah empowerment atau pemerkasaan usahawan tempatan menerusi penyediaan dana dan modal, mempercepat proses pemprosesan, selain meningkatkan ilmu pengetahuan, latihan, kursus serta kaedah pemasaran yang lebih berkesan manakala strategi ketiga ialah enactment of policies and legislation, iaitu penggubalan dasar dan perundangan bagi memastikan semua pemain dalam ekosistem e-dagang mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan kerajaan," katanya. 

Sim berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah memastikan platform e-dagang asing turut mematuhi peraturan percukaian dan piawaian produk yang berkuat kuasa di Malaysia, termasuk piawaian SIRIM bagi barangan elektrik serta keperluan berkaitan produk makanan.

Beliau berkata KUSKOP turut terlibat dalam proses memberikan maklum balas kepada KPDN berhubung penggubalan Rang Undang-Undang E-Dagang baharu yang dijangka dibentangkan awal tahun depan dan perundangan itu penting bagi mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dan adil, sekali gus mengelakkan peniaga kecil tempatan daripada terjejas akibat persaingan tidak seimbang dengan syarikat atau platform asing yang mempunyai modal besar.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement