Skip to main content

Bisnes

SKM buka laluan global, koperasi mula cipta nama di pentas dunia

SKM
Penyertaan dalam Gulfood membuka akses ke pasaran Asia Barat, memperluas jaringan pembeli antarabangsa serta mengesahkan daya saing produk koperasi di peringkat global - Foto SKM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara strategik apabila koperasi tempatan mula menembusi pasaran antarabangsa, termasuk melalui penyertaan dalam Gulfood 2026 di Dubai.

Platform berprestij itu menjadi pemangkin transformasi koperasi daripada pemain domestik kepada pengeksport global, selari dengan aspirasi nasional serta gagasan “Hebatkan Perniagaan Malaysia” yang diilhamkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (Kopetro), Ahmad Husaini Hassan, berkata sokongan SKM membuktikan agensi itu bukan sekadar pengawal selia, malah pemangkin pengantarabangsaan koperasi melalui akses platform global, bimbingan pematuhan standard dan pembangunan kapasiti organisasi.

"SKM bukan hanya regulator. Mereka memudah cara penyertaan koperasi dalam program antarabangsa, membimbing aspek pematuhan standard global dan membantu membina kapasiti organisasi. Tanpa platform sebegini, sukar untuk koperasi melangkah ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, penyertaan dalam Gulfood membuka akses ke pasaran Asia Barat, memperluas jaringan pembeli antarabangsa serta mengesahkan daya saing produk koperasi di peringkat global.

Husaini menegaskan kejayaan eksport bergantung kepada tadbir urus kukuh dan pematuhan konsisten, termasuk memenuhi piawaian seperti pensijilan halal, BRC bagi Eropah dan FDA bagi Amerika Syarikat.

"Pematuhan bukan beban, tetapi enjin pertumbuhan yang membina keyakinan rakan niaga serta meningkatkan nilai produk anggota," katanya, sambil menambah pendekatan itu turut memperluas pasaran dan potensi dividen anggota.

Beliau optimis lebih banyak koperasi mampu menembusi pasaran global sekiranya terus memperkukuh kualiti dan memanfaatkan platform disediakan SKM.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga koperasi Malaysia mengesahkan penyertaan dalam Foodex Japan 2026 di Tokyo pada 10 hingga 13 Mac depan, mencerminkan komitmen berterusan sektor koperasi untuk memperkukuh kehadiran di pasaran antarabangsa.
 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found