KUALA LUMPUR: Peningkatan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan perlu menjadi pembakar semangat kepada atlet negara untuk terus meningkatkan prestasi dan melakar lebih banyak kejayaan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Arrifin Mohd Ghani berkata atlet negara perlu menunjukkan peningkatan prestasi secara konsisten sebagai tanda menghargai komitmen kerajaan dalam menyediakan insentif lebih baik kepada mereka.
“Peningkatan kadar insentif ini adalah bukti betapa kerajaan, menerusi MSN serius dalam menjamin yang terbaik kepada atlet negara dan diharapkan ia dapat menyuntik motivasi mereka untuk terus meningkatkan prestasi serta melakar kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya.
Arrifin berkata MSN akan terus meneliti ganjaran lain di bawah SHAKAM untuk memastikan atlet dan jurulatih terus mendapat sokongan sewajarnya, terutama dalam membuat persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) 2027.
Rabu lepas, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mengumumkan kadar SHAKAM bagi pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel dinaikkan sebanyak 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.
Kenaikan itu turut melibatkan ganjaran pemenang pingat perak acara berpasukan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 Sept manakala APG 2027 di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Okt.
-- BERNAMA