SME Bank Malaysia Bhd, yang menerima peruntukan sebanyak RM2.25 bilion daripada kerajaan dalam Belanjawan 2013, akan mengagihkan wang tersebut kepada empat bahagian.

Pengarah Urusannya Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata sebanyak RM1 bilion akan disalurkan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM1 bilion kepada dana pembiayaan Bumiputera bagi segmen perniagaan bukan teras syarikat bukan kerajaan (GLC).

"Sebanyak RM200 juta lagi akan digunakan untuk pembiayaan perniagaan industri halal dan RM50 juta lagi untuk peniaga muda," kata beliau semasa ditemui pada majlis perasmian pusat perniagaan bank tersebut, di Rawang dekat sini.

Menyentuh mengenai pusat perniagaan bank, beliau berkata pada tahun ini, SME Bank akan menambah lagi cawangan pusat perniagaannya.

"Walaupun belum dikenal pasti lokasi sebenar, sebanyak lima buah pusat perniagaan bakal ditambah di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak," katanya.

Setiap cawangan memerlukan modal sebanyak RM250,000.

Sehingga kini, SME Bank telah beroperasi di 20 pusat enterpris di seluruh negara, dan di negeri Selangor, ia mempunyai tiga pusat enterpris dan perniagaan, iaitu di Shah Alam, Kajang dan Rawang.

Bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas, bank tersebut telah meluluskan sebanyak 1,690 pembiayaan berjumlah RM2.76 bilion.