Skip to main content

Bisnes

Stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.78 peratus kepada 2.54 juta tan pada Jun 2026 - MPOB

51724400042_TBladangsawit.jpg
MPOB berkata stok MSM meningkat 3.75 peratus atau 48,153 tan kepada 1.33 juta tan pada Jun daripada 1.28 juta tan pada Mei 2026. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.78 peratus atau 116,123 tan kepada 2.54 juta tan pada Jun 2026 berbanding 2.43 juta tan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB berkata stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 3.75 peratus atau 48,153 tan kepada 1.33 juta tan pada Jun daripada 1.28 juta tan pada Mei 2026.

"Stok minyak sawit diproses pula meningkat 5.94 peratus kepada 1.21 juta tan daripada 1.14 juta tan," katanya dalam laporan prestasi industri bagi Jun.

Dari segi pengeluaran, MPOB berkata pengeluaran MSM meningkat 8.08 peratus atau 122,450 tan kepada 1.64 juta tan daripada 1.52 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit turut meningkat 8.16 peratus bulan ke bulan kepada 381,480 tan daripada 352,697 tan.

Bagaimanapun, pengeluaran minyak isirung sawit mentah susut 0.46 peratus kepada 174,071 tan daripada 174,871 tan pada Mei, manakala pengeluaran hampas isirung sawit meningkat 1.12 peratus kepada 195,534 tan daripada 193,362 tan.

MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 6.19 peratus kepada 1.20 juta tan pada Jun 2026 berbanding 1.13 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala eksport minyak isirung sawit menurun 2.64 peratus kepada 83,712 tan.

Eksport hampas isirung sawit meningkat kepada 219,887 tan daripada 177,880 tan, manakala eksport oleokimia susut 12.37 peratus kepada 224,055 tan daripada 255,674 tan pada Mei. Eksport biodiesel pula merosot 88.35 peratus kepada 4,817 tan.

MPOB turut melaporkan tiada import minyak sawit mentah direkodkan pada Jun, manakala import minyak isirung sawit berkurangan 31.01 peratus kepada 5,978 tan daripada 8,665 tan pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement