Ringkasan AI
- Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) memperluas keupayaan klinikal dengan perancangan pembangunan pusat kanser dan perubatan nuklear di Kota Damansara.
- SMCD menyediakan pelbagai kepakaran perubatan, teknologi canggih termasuk AI dan robotik, serta kemudahan akses untuk komuniti tempatan dan pesakit antarabangsa.
- SMCD mencatatkan EBITDA positif dalam tempoh sembilan bulan operasi, lebih awal berbanding tempoh lazim industri tiga hingga lima tahun.
PETALING JAYA: Akses kepada rawatan pakar yang lebih dekat dengan kediaman boleh membantu pesakit mendapatkan penjagaan kesihatan yang diperlukan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada kemudahan di lokasi lain.
Keperluan itu mendorong Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) memperluas keupayaan klinikalnya, termasuk menerusi perancangan pembangunan pusat kanser dan perubatan nuklear.
Hospital tertiari keempat di bawah Sunway Healthcare Group (SHG) itu mula beroperasi pada Disember 2024 sebelum dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober 2026.
Terletak di Kota Damansara, SMCD menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat di bahagian utara, barat laut dan barat Lembah Klang, selain memenuhi keperluan ekspatriat serta pesakit antarabangsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penubuhan hospital swasta seperti SMCD menyokong aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk membangunkan sebuah negeri yang prihatin, berdaya huni, mampan dan berdaya tahan.
“Keperluan penjagaan kesihatan penduduk semakin kompleks.
“Populasi yang semakin menua, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit serta permintaan yang semakin tinggi terhadap rawatan pakar memerlukan kita untuk terus meningkatkan kapasiti dan keupayaan sistem penjagaan kesihatan.
“Justeru, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan yang mampu meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan serta memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Sementara itu, Presiden SHG, Datuk Lau Beng Long, berkata SMCD menghimpunkan pelbagai kepakaran dan subkepakaran perubatan yang disokong teknologi diagnostik serta terapeutik canggih, termasuk penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi bantuan robotik.
“Pusat Perubatan Sunway Damansara menghimpunkan rangkaian kepakaran dan subkepakaran yang komprehensif, disokong oleh teknologi perubatan diagnostik dan terapeutik canggih, termasuk penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi bantuan robotik.
“Seiring dengan perkembangan hospital ini, kami memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan keupayaan tersebut serta mempertingkatkan pendekatan penjagaan multidisiplin, supaya pesakit dapat memperoleh akses kepada rawatan yang lebih kompleks dengan lebih dekat dengan kediaman mereka.
“Dalam fasa seterusnya, kami sedang menilai pembangunan SMCD, dengan kira-kira empat ekar tanah telah diperuntukkan bagi tujuan pengembangan pada masa hadapan.
“Perancangan tersebut merangkumi penubuhan Sunway Sanctuary, sebuah pusat khusus yang memberi tumpuan kepada kehidupan warga emas, serta sebuah Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear.
“Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear yang dicadangkan ini bertujuan menyediakan perkhidmatan diagnostik dan rawatan canggih, termasuk siklotron, tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT), pemecut linear dan simulator tomografi berkomputer, selain Pusat Terapi Pancaran Proton yang bakal menjadi kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia.
“Perancangan ini mencerminkan visi jangka panjang kami untuk membangunkan SMCD sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif, sekali gus menyediakan akses kepada rawatan pakar dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia serta pesakit antarabangsa,”ujarnya.
Selain memperluas keupayaan klinikal, SMCD turut menambah baik akses kepada hospital untuk komuniti setempat.
Laluan tanjakan baharu yang menghubungkan Persiaran Surian ke Jalan PJU 5/1 menyediakan laluan lebih mudah ke hospital dan Bandar Sunway Damansara. Jejantas penghubung ke Sunway Nexis pula menghubungkan pesakit dan pengunjung dengan stesen MRT Surian serta kemudahan runcit, makanan dan gaya hidup berhampiran.
Bagi pesakit antarabangsa, Pusat Pesakit Antarabangsa SMCD membantu menyelaras janji temu pakar, rawatan, kemasukan ke hospital dan komunikasi, termasuk dengan sokongan jururawat serta penterjemah.
Lokasi hospital juga memudahkan akses dari Lapangan Terbang Subang, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SMCD, Jasmine Lau Mooi Hun, berkata perkembangan hospital itu dalam tempoh yang singkat mencerminkan kepercayaan pesakit, rakan kerjasama dan komuniti terhadap perkhidmatan yang disediakan.
“Dalam tempoh yang agak singkat, SMCD telah berkembang dengan pesat, bukan sahaja daripada segi skop perkhidmatan yang ditawarkan, malah daripada segi kepercayaan yang diberikan oleh pesakit, rakan kerjasama dan komuniti secara keseluruhannya.
“Perkembangan ini mencerminkan dedikasi warga kerja kami serta sokongan daripada rakan kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan dan pemegang taruh.
“Dalam fasa pertumbuhan seterusnya, kami kekal komited untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan pengalaman pesakit dan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan pakar yang komprehensif untuk komuniti setempat,” jelasnya.
SMCD turut mencatatkan bulan pertama dengan EBITDA positif dalam tempoh sembilan bulan selepas memulakan operasi, lebih awal berbanding tempoh lazim tiga hingga lima tahun dalam industri.
Bagi melengkapi rangkaian penjagaan kesihatannya, Pusat Pakar Sunway Damansara yang terletak bertentangan dengan hospital akan menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit luar. Pusat Perubatan Tradisional Cina Sunway pula dirancang dibuka pada suku pertama 2027.