PETALING JAYA: Sunway Property menyasarkan jualan RM2.2 bilion untuk tahun ini dengan 70% pelancaran baharunya adalah di dalam negara, terutama dengan pembukaan hab kesejahteraan bersepadunya di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Sarena Cheah berkata, pihaknya mencatat jualan RM2.55 bilion untuk tahun 2021, mengatasi sasaran RM2.2 bilion yang ditetapkan.

Katanya, ia adalah rekod jualan tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarahnya pada tahun lalu dengan separuh daripadanya disumbangkan oleh jualan hartanah di Singapura.

"Untuk pelancaran baharu, kami menyasar untuk melancar projek baharu bernilai RM2.3 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV) dengan 70 peratus projek akan dilancarkan di dalam Malaysia.

"Antara projek hartanah yang akan dilancarkan ialah apartmen servis Jernih Residence di Kajang dengan GDV RM281 juta; kondominium Sunway Alishan di Kuala Lumpur (GDV: RM261 juta) dan menara pertama kediaman servis di Bukit Jalil (GDV RM275 juta).

"Untuk pasaran antarabangsa, kami akan melancarkan kondominium persendirian di Flynn Park, Singapura (GDV RM698 juta) dan Sunway Gardens di Tianjin, China (GDV RM276 juta)," katanya pada taklimat media dan perkembangan terkini perniagaan di sini pada Isnin.

Yang turut hadir pada taklimat media itu ialah Pengarah Eksekutif Wilayah Tengahnya, Chong Sau Min; Timbalan Pengarah Urusannya, Lum Tuck Ming dan Ketua Pegawai Pemasaran Jenamanya, Gerard Yuen.

Pemaju itu membeli 8.1 hektar tanah baharu pada 2021 dengan potensi GDV sebanyak RM 4.0 bilion, menjadikan simpanan tanah Sunway Property kini berjumlah 1,349.22 hektar.

Jualan belum dibilkannya pula pada masa ini berjumlah RM4 bilion yang mampu menyumbang pendapatan kepada syarikat untuk tiga, empat tahun ini.

Mengenai masalah hartanah tidak terjual yang masih tinggi, Sarena berkata, pihaknya tidak berdepan dengan masalah itu kerana semua unit projek hartanahnya habis terjual.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi menjaga kesihatan komunitinya, Sunway Property kini sedang merancang pembangunan lapan hab kesihatan bersepadu kawasan perbandarannya di seluruh negara antaranya di Lembah Klang (Sunway City Kuala Lumpur, Sunway Velocity di Kuala Lumpur dan Sunway Damansara); Pulau Pinang (Sunway Seberang Jaya dan Sunway Valley City ), Ipoh (Sunway City Ipoh) dan Johor (Sunway City Iskandar Puteri) serta di Kota Bharu di mana ia akan membina hab kesihatan terbaharunya.

"Hab ini akan diterajui oleh oleh Pusat Perubatan Sunway dengan GIC Pte Ltd dari Singapura bertindak sebagai rakan kongsi pelaburan dan strategik.

"Sunway akan melabur RM2 bilion dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang untuk membina pusat perubatan itu," katanya.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com