PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat di Malaysia diarahkan agar tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan syarikat yang telah disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) membabitkan cip Nvidia dan syarikat Megaspeed International.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi terhadap urusan perniagaan dan perdagangan syarikat tempatan.
"Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga telah memberi beberapa maklumat susulan, kepada pengumuman penyenaraian hitam sejumlah syarikat di Malaysia, berkait dengan isu cip Nvidia dan Megaspeed.
"Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa, syarikat-syarikat di Malaysia telah diarahkan untuk tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan syarikat-syarikat yang telah disenarai hitam oleh pihak Amerika Syarikat (AS) bagi mengelak sebarang komplikasi dalam urusan perniagaan dan perdagangan mereka," katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media mingguan Kabinet, di sini, hari ini.
Pada 24 Nov lalu, Jabatan Perdagangan AS menyenarai hitam syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International bersama firma-firma sekutunya di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Peraturan baharu itu adalah bagi melarang Megaspeed International daripada membeli cip AI dan teknologi canggih lain tanpa lesen daripada kerajaan AS kerana berkemungkinan mengalihkan cip berprestasi tinggi dan kuasa pengkomputeran kepada China, sekali gus melanggar kawalan eksport ketat yang ditetapkan AS.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di AS berhubung tarif perdagangan yang dikenakan terhadap Malaysia.
Katanya, antara perkara yang dibangkitkan termasuk isu melibatkan buruh paksa serta lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan lambakan produk dan barangan.
“Terutama dalam isu berkaitan lambakan atau 'excess capacity' ini, pihak MITI sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di AS untuk memberi penerangan dan penjelasan bagi menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pihak mereka,” katanya.