KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan mempertimbangkan cadangan untuk  mengenakan luxury tax atau cukai kemewahan bagi setiap pembelian barangan dan perkhidmatan mewah dan non-essential yang melepasi harga tertentu.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) ketika membahaskan Bajet 2022 berkata pengenalan cukai tersebut membolehkan kerajaan meningkatkan hasil.

Jelas beliau, tiada satu polisi yang menyeluruh diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan Bajet 2022, melainkan pengenalan Cukai Makmur yang dikenakan secara 'one-off'' kepada perusahaan yang mempunyai keuntungan melebihi RM100 juta setahun.

"Barangan mewah yang boleh dikenakan cukai adalah seperti supercar, kapal layar, jet peribadi, barang  kemas bernilai tinggi dan barangan mewah lain .

"Untuk makluman, pengenaan luxury tax ini dilakukan oleh negara maju sejak sekian lama. Di rantau ASEAN, Thailand dan Indonesia juga turut mengenakan cukai kemewahan ini kepada rakyat mereka.

"Jadi sekiranya kerajaan bersetuju untuk melaksanakan cadangan  ini, ia tidaklah menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang akan mengenakan cukai sedemikian kepada rakyatnya," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Membahas lebih lanjut, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata cukai kemewahan juga bertujuan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan tinggi (T20), bersesuaian dengan aspirasi kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tambah beliau, mengikut Kementerian Kewangan (MoF), hasil negara pada 2020 adalah lebih rendah daripada perbelanjaan kerajaan.

"Makanya, sebagaimana yang dilaporkan oleh MoF dalam belanjawan baru-baru ini, defisit negara untuk tahun 2022 dijangka menghampiri RM100 bilion.

"Jika kita perhatikan pada tahun 2019 ketika Kerajaan Pakatan Harapan memerintah, hasil negara meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM264.42 bilion.

"Pada 2020 terdapat penurunan sebanyak 14.9 peratus kepada RM222.08 bilion. Ini boleh dijelaskan memandangkan terdapat beberapa kali ekonomi ditutup pada 2020," ujar beliau.