BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) kini dalam proses memperhalusi rangka kerja kawal selia baharu bagi meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain memaklumkan keputusan tersebut dicapai selepas pertimbangan terperinci selama hampir enam bulan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas bersama yang turut dianggotai oleh Pengerusi SC dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Langkah strategik ini diambil bagi memenuhi syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menekankan kepentingan memastikan faktor luaran berkaitan pengurusan dana TH dipantau oleh institusi yang dipercayai.
"Selepas mempertimbangkan secara terperinci, kami menyimpulkan bahawa adalah lebih relevan untuk cabang pelaburan TH dikawal selia oleh SC.
"Apabila perkara itu berlaku, saya fikir hampir 90 peratus daripada syor RCI akan selesai dilaksanakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peralihan ini tidak bermakna BNM akan diketepikan sepenuhnya daripada operasi institusi pengurusan dana haji tersebut.
Menurut Abdul Rashid, TH sedang memperhalusi struktur kawal selia masa depan bagi memastikan kesemua agensi, termasuk BNM, tetap terlibat secara aktif dan seimbang dalam memelihara integriti pelaburan TH.