KUALA LUMPUR: Perang dagang yang dicetuskan oleh kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada rakan dagangnya merupakan peluang untuk Malaysia mengembangkan perdagangan. 


Ringkasan AI
  • Peluang Perdagangan untuk Malaysia: Tarif tinggi yang dikenakan oleh AS ke atas produk China membuka peluang bagi produk Malaysia yang dikenakan tarif lebih rendah untuk menjadi pilihan pengguna.
  • Peningkatan Nilai Tambah dan Sumber Manusia: Malaysia perlu meningkatkan nilai tambah produk dan menyesuaikan sistem pendidikan untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang sesuai dengan keperluan industri.
  • Kesan Perang Dagang: Perang dagang antara China dan AS telah memberi kesan langsung kepada perniagaan import-eksport, termasuk pembatalan pesanan daging babi oleh China dari AS.


Perunding Sumber Manusia, Faizal Riduan berpandangan tarif yang lebih tinggi dikenakan keatas produk dari China membuka peluang untuk pengguna memilih barangan daripada Malaysia yang dikenakan tarif lebih rendah. 

“Contoh produk isi rumah Malaysia yang sangat berkualiti ialah Joven dan Pensonic. Ini produk isi rumah yang hilang daya saing apabila bersaing dengan China. 

“Tetapi dengan tarif yang lebih tinggi hari ini, Malaysia akan dapat kelebihan kerana kita bukan lagi pusat pembungkusan semula produk keluaran China. 

“Oleh itu, Malaysia perlu menunjukkan komitmen untuk meningkatkan nilai tambah, sumber manusia dan graduan kita selaras dengan keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Tarif Trump: Peluang Malaysia untuk penuhi vakum permintaan produk China - Penganalisis

Mengulas lanjut, Presiden BELIA MAHIR, Mohamad Rizan Hassan menegaskan sistem pendidikan bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dalam negara perlu melakukan penyesuaian dengan kadar segera.

Menurutnya, program pendidikan dan latihan di Malaysia perlu fokus kepada menyediakan bakat, bukan berbahas mengenai akreditasi sekeping sijil.

“Di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan China setakat hari ini, 3,000 orang menerima latihan dari China. Tetapi apabila mereka pulang ke Malaysia, sama ada mereka terlibat dalam program jangka masa pendek atau panjang di China, seolah-olah tidak disambut di negara kita. 

“Ini kerana, masih persepsi terhadap kualiti pendidikan dan pensijilan dari China. Masih nak bercakap mengenai sekeping kertas. Bagi saya perkara itu perlu dihentikan, sebab yang penting ialah China telah beri sokongan kepada pekerja masa depan kita dalam konteks kemahiran yang diperlukan oleh industri”, ujarnya.

Perang dagang antara China dan Amerika Syarikat kini sudah menunjukkan kesan langsung kepada perniagaan import-eksport, dengan China menghentikan pembelian daging babi, jerami dan kayu gergaji.

Pada Khamis lalu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat melaporkan China telah pembatalan pesanan daging babi terbesar sejak 2020, menyebabkan penghantaran 12,000 tan daging berkenaan tertangguh.


Agenda AWANI: Perang Dagang AS-China | Apa Nasib Pekerja?