AMSTERDAM: Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara hampir empat tahun setiap seorang selepas didapati bersalah mencuri topi keledar emas purba berusia kira-kira 2,500 tahun dari sebuah muzium di Belanda.
Topi keledar Cotofenesti yang berasal dari sekitar 450 Sebelum Masihi itu dicuri oleh sekumpulan penjenayah bersenjata yang memecah masuk Muzium Drents di Assen lebih setahun lalu. Dalam kejadian sama, tiga gelang emas turut dilarikan.
Kecurian itu mencetuskan kemarahan di Romania, selain menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan artifak yang dipinjamkan ke luar negara.
Pada April lalu, pihak berkuasa Belanda mengumumkan penemuan semula topi keledar tersebut bersama dua daripada tiga gelang emas hasil rundingan dengan dua suspek.
Bagaimanapun, satu lagi gelang masih belum ditemui dan usaha mengesannya diteruskan.
Kesemua tertuduh ditahan beberapa hari selepas kejadian pecah masuk menggunakan bahan letupan, namun ketika itu artifak berkenaan gagal dikesan.
Pendakwa raya kemudian mencapai persetujuan dengan dua suspek bagi mendapatkan semula barangan curi, manakala seorang lagi enggan bekerjasama.
Walaupun terdapat perjanjian pengakuan bersalah, mahkamah di Assen tetap menjatuhkan hukuman sama iaitu 47 bulan penjara terhadap ketiga-tiga tertuduh.
“Berdasarkan sifat dan keseriusan kesalahan, hanya hukuman penjara yang berat dianggap setimpal,” menurut kenyataan mahkamah.
Artifak berkenaan dipinjam daripada Muzium Sejarah Kebangsaan Romania untuk pameran mengenai tamadun Dacia, iaitu masyarakat yang mendiami wilayah Romania moden sebelum penaklukan Rom pada tahun 106 Masihi.
Kehilangan khazanah itu turut memberi kesan besar di Romania, termasuk menyebabkan pengarah muzium berkenaan kehilangan jawatan susulan kritikan terhadap keputusan meminjamkan artifak berharga ke luar negara.
Pakar seni percaya kecurian itu mungkin dilakukan atas tempahan sindiket jenayah.
Insiden tersebut juga mencetuskan ketegangan diplomatik antara Belanda dan Romania, termasuk bayaran pampasan insurans dilaporkan sekitar €5.7 juta (RM26.76 juta) oleh kerajaan Belanda.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi menjejaki gelang emas yang masih hilang, sambil menegaskan kepentingan memulangkan sepenuhnya khazanah itu kepada rakyat Romania.