KUALA LUMPUR: Terbitan sukuk berdaulat jangka panjang global dijangka berkurangan kepada AS$73 bilion (AS$1=RM4.19) pada 2022 dan AS$75 bilion pada 2023 daripada $88 bilion pada 2021, termasuk terbitan oleh bank-bank pembangunan pelbagai hala, menurut laporan Moody's Investors Service (Moody's).

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody's, Alexander Perjessy berkata terbitan sukuk itu akan turun apabila defisit kerajaan terus mengecil berikutan harga minyak yang lebih tinggi, perbelanjaan berkaitan coronavirus lebih rendah serta aktiviti ekonomi yang semakin aktif di negara-negara pengeluar sukuk teras.

"Jumlah terbitan sudah merosot 22 peratus pada 2021 dengan penurunan terbesar daripada negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terutamanya Arab Saudi," katanya hari ini.

Moody's mengunjurkan defisit fiskal agregat negara pengeluar sukuk utama, iaitu Arab Saudi, Malaysia, Indonesia dan Turki akan berkurangan kepada AS$92 bilion pada 2022 daripada AS$118 bilion pada 2021 dan AS$194 bilion pada 2020.

Kedudukan fiskal agregat negara GCC tidak termasuk Kuwait, akan bertambah baik kepada lebihan sebanyak AS$50 bilion pada 2022 daripada lebihan AS$13 bilion pada 2021 dan defisit sebanyak AS$112 bilion pada 2020.

Unjuran ini adalah berdasarkan andaian harga minyak secara purata pada 2022 sebanyak AS$75 setong.

Peserta baharu ke dalam pasaran sukuk berdaulat itu memberikan risiko yang kecil kepada jangkaan terbitan oleh Moody's, katanya.

Undang-undang hutang awam Kuwait yang baharu dan Undang-undang Sukuk Berdaulat Mesir yang diluluskan baru-baru ini akan menyokong terbitan sukuk berdaulat negara tersebut dalam jangka sederhana.

-- BERNAMA