SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 2025 yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu 6.15 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah.
Kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM67.1 bilion manakala bagi Simpanan Shariah, membabitkan agihan berjumlah RM12.5 bilion.
Advertisement
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2025 sebanyak RM79.6 bilion.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan membabitkan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun itu RM73.24 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.
“Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
“Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion, didorong pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion,” katanya semasa pengumuman dividen KWSP 2025, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan menjana RM50.7 bilion, iaitu 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.
“Pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan. Pelaburan ekuiti persendirian, yang merangkumi sekitar lapan peratus daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus.
“Instrumen pendapatan tetap, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, mengukuhkan portfolio KWSP dengan aliran pendapatan yang stabil, menyumbang sebanyak RM26.3 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dengan ROI 4.3 peratus,” ujarnya.